Khidmat Komuniti di Teluk Berakit Pulau Kapas


Para peserta Khidmat Komuniti (gambar kiri) dan aktiviti LDK (gambar kanan).

Admin mengetuai aktiviti senaman pagi.

Berehat sebentar, melepaskan penat kata kan...sebelum sampai ke Batu Berakit.


Aktiviti gotong royong mengutip sampah sarap untuk memastikan tempat menarik seperti ini sentiasa
menggamit kedatangan pengunjung.


Kelab Pelancongan SMK Belara telah menganjurkan Program Lawatan Kenali Flora-fauna dan Khidmat Komuniti pada 24 Jun lalu bertempat di Pulau Kapas, Marang Terengganu. Program ini telah disertai oleh 30 orang ahli Kelab Pelancongan SMK Belara dan 4 orang guru pengiring.

Menurut Guru Penasihat Kelab Pelancongan SMK Belara, Ahmad Yusri Jusoh, lawatan ini bertujuan membuka minda dan meluaskan pengetahuan pelajar dengan melawat tempat-tempat menarik khususnya yang terdapat di negeri Terengganu. Lawatan ini dapat merapatkan hubungan silaturrahim dan semangat bekerjasama dalam kalangan ahli kelab.

Beliau berkata, melalui lawatan ini para pelajar dapat didedahkan dengan maklumat yang tepat dan hubung kait ilmu yang dipelajari dengan alam sekitar, ekonomi, sosio budaya dan kerjaya. “Antara aktiviti yang boleh membantu pelajar ke arah meningkatkan ilmu ialah lawatan ke tempat pelancongan dan menjalankan khidmat komuniti di tempat yang dilawati tersebut”.

Ahmad Yusri berkata, pengisian program yang telah disusun seperti aktiviti keyakinan di air dan merentas hutan telah berjaya menguji ketahanan fizikal dan mental peserta. “Bagi memastikan tempat-tempat pelancongan yang dikunjungi sentiasa menggamit setiap pengunjung yang datang, kami mengambil kesempatan ini dengan menjalankan program khidmat komuniti iaitu bergotong royong membersihkan kawasan Teluk Berakit, Pulau Kapas,” katanya. “Aktiviti Latihan Dalam Kumpulan (LDK) turut dijayakan sewaktu menjalankan Program Lawatan Kenali Flora-fauna dan Khidmat Komuniti Kelab Pelancongan SMK Belara kali ini”, katanya lagi.


“TERENGGANU DESTINASI PILIHANKU”


"Artikel di atas ditulis berdasarkan pengalaman sendiri"
-AHMAD YUSRI BIN JUSOH @ MOHAMMED.


Read More..

Bas Bandar (Bas CASLIGAS)


Terminal Bas Bandar yang terletak di Dataran Syahbandar Kuala Terengganu.


Menarik...rekabentuk Bas Bandar (Bas CASLIGAS)

“Abah!...bas rumah…abah, bas rumah”. Ungkapan ini sentiasa dijeritkan apabila anak-anak admin melihat bas Bandar. Kewujudan bas Bandar sinonim dengan status Terengganu sebagai sebuah bandaraya (Bandaraya Warisan Pesisir Air). Perkhidmatan bas dikenali sebagai bas Bandar atau bas “CASLIGAS” telah diperkenalkan pada 2007 bagi meningkatkan industri pelancongan, negeri Terengganu.

Bas yang mempunyai ciri ukiran kayu tradisional negeri ini selain bentuk dalaman yang selesa dan unik itu mendapat perhatian ramai terutama para pelancong. Ketika mula diperkenalkan, bas bandar jenis Hino dan Nissan berbadan kayu itu menyediakan kemudahan untuk para pengguna secara percuma. Perkhidmatan bas kendalian Cas Ligas Sdn. Bhd., anak syarikat Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) bukan sahaja akan menjadi tarikan pelancong namun berkhidmat sebagai pengangkutan awam alternatif untuk penduduk. Perkhidmatan sedia ada bas tersebut membabitkan laluan ke Chendering dan Taman Tamadun Islam (TTI) Gong Badak dan Batu Enam.

Pengguna perkhidmatan bas bandar itu akan dikenakan tambang. Tambang itu dikenakan setelah mengambil kira dari segi keperluan untuk menampung kos operasi bas berkenaan ketika ini. Caj RM1 dikenakan untuk laluan dari pusat bandar ke Chendering dan laluan ke TTI manakala RM2 untuk perjalanan ke Batu 6 sehingga Gong Badak. Laluan ke Batu 6 sehingga Gong Badak, bas akan singgah di Pulau Duyong dengan caj tambang RM1 dan jika penumpang hendak ke Batu 6 atau Gong Badak, mereka perlu bayar RM1 lagi. Perkhidmatan turut mengenakan caj serupa ke atas penumpang yang berusia 7 tahun ke atas.

Setiap laluan akan membabitkan enam trip pada setiap hari mulai pukul 9 pagi hingga 7 malam untuk laluan ke Chendering dan Gong Badak dan dari pukul 11 pagi hingga 4.30 petang untuk ke TTI. Maklumat pelancongan seperti risalah mengenai tempat menarik dan destinasi pelancongan termasuk inap desa di dalam bas untuk pelancong di negeri ini.


“TERENGGANU DESTINASI PILIHANKU”



"Artikel di atas ditulis berdasarkan pengalaman sendiri"
(Melalui temubual dengan pemandu bas CASLIGAS dan pengalaman menaiki sendiri basi ini bersama seisi keluarga)
-AHMAD YUSRI BIN JUSOH @ MOHAMMED.
Read More..

Batu Bersurat Terengganu


Admin bergambar kenangan dengan replika Batu Bersurat, sempena
Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Terengganu 2010
.


Batu Bersurat asal yang dipamerkan di Muzium Negeri Terengganu.


Replika Batu Bersurat di Bulatan Ladang tidak pernah gagal untuk menawan setiap mata yang memandang.

Batu Bersurat Terengganu adalah prasasti tertua dalam tulisan jawi klasik yang ditemui di negeri Terengganu. Dengan penemuan ini , Terengganu menjadi negeri yang paling awal menerima kedatangan Islam di Semenanjung Tanah Melayu iaitu sebelum tahun 1326 atau 1386. Catatan pada Batu Bersurat ini menunjukkan ia ditulis pada hari Jumaat 22 Februari 1303 Masihi bersamaan 4 Rejab 702 Hijrah (Menurut kajian Syed Muhammad Naquib Al-Attas).
Batu yang dianggarkan berusia 700 tahun ini telah ditemui berlumpur dan separuh tenggelam selepas banjir surut, di tebing Sungai Tersat, Kampung Buluh Kuala Berang, Hulu Terengganu pada tahun 1899.

Penduduk kampung memindahkan batu ini ke tangga surau di kampung tersebut kerana saiznya yang besar dan elok untuk dijadikan alas tempat membasuh kaki sebelum naik ke surau.
Seorang peniaga dari Riau-Lingga, Saiyed Hussein bin Ghulam al-Bukhari bersama Engku Pangeran Anum yang singgah untuk menunaikan sembahyang di kampung tersebut, menjumpai batu ini ketika beliau membasuh kaki di tangga surau itu.

Dengan pertolongan penduduk kampung batu ini telah di pindahkan ke atas rakit untuk di bawa ke Kuala Terengganu. Beliau berhasrat untuk mengadap dan mempersembahkan batu tersebut kepada ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu ketika itu iaitu Sultan Zainal Abidin III. Batu yang bersejarah ini kemudiannya ditempatkan di atas Bukit Puteri selama beberapa tahun kerana tiada sesiapa yang memahami tulisan jawi yang tertulis pada batu tersebut.
Penasihat Inggeris di Terengganu ketika itu, Major H.S Peterson telah menghantar gambar Batu Bersurat ini ke bahagian Kajian Bahasa di Singapura dan London.

Dengan terjumpanya prasasti ini, Sarjana tempatan dan barat turut bersetuju dengan teori kedatangan Islam ke Alam Melayu adalah dari negara China. Penemuan Batu Bersurat Terengganu merupakan satu bukti yang Islam telah sampai dari arah Timur, dan sarjana bersetuju menyatakan ianya datang dari China, Hainan atau Champa. Ini kerana negara China telah pun menerima Islam lebih awal dari negara lain di Timur kerana pada zaman Kerajaan Islam, utusan telah pun dihantar ke China melalui jalan sutera bagi mengembangkan agama Islam.

Batu yang beratnya lebih kurang 215 kilogram dan berukuran tinggi 84 sentimeter, bukaan atas 53 sentimeter dan 27 sentimeter bukaan bahagian bawah ini, berasal daripada batu granit yang keras dan tidak mudah pecah ini, mencatatkan nama Raja Mandalika yang telah memerintah dan melaksanakan hukum-hukum Islam. Selain daripada itu dicatatkan juga Islam sebagai agama rasmi dan menerangkan hukum-hukum Islam tentang maksiat dan segala kemungkaran.
Prasasti ini yang telah dibawa pulang semula ke Terengganu umpama “Sireh pulang ke Ganggang” Pada 6 Julai 1991, jam 9.30 pagi suatu upacara penyerahan kembali Batu Bersurat kepada Kerajaan Negeri Terengganu telah berlangsung di Dewan Perjanjian, Tingkat 18, Wisma Darul Iman di antara Kerajaan Persekutuan yang diwakili oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Encik Ismail bin Adam dengan Kerajaan Negeri Terengganu kepada YAB. Dato' Seri Amar Di Raja Tan Sri Haji Wan Mokhtar bin Ahmad, Menteri Besar Terengganu.

Batu Bersurat Terengganu menerima pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan PBB (UNESCO) di bawah kategori "Daftar Memori Antarabangsa" pada tahun 2009. Pada hari ini, Batu bersurat ini di tempatkan dan dipamerkan di Muzium Negeri Bukit Losong Kuala Terengganu. Kepentingan batu bersurat ini tidak dapat dinafikan lagi dan ia menjadi salah satu dari mercu tanda negeri Terengganu dengan replikanya diletakkan ditapak Bulatan Penyu sebagai tanda sejarah kedatangan Islam di Terengganu.

“TERENGGANU DESTINASI PILIHANKU”
Read More..

Artifak di Bukit Puteri


Panorama dari atas Bukit Puteri


Meriam beranak


Kubu


Genta

Salam…buat semua pengunjung Blog Pelancongan Terengganu ini. Dikesempatan ini, saya ingin nukilkan kenangan manis sewaktu menjejak kaki ke Bukit Puteri. Bukit Puteri merupakan tempat menarik yang pertama saya jejaki…selaku anak jati Terengganu. Pada waktu itu usia saya baru menjangkau belasan tahun…lebih tepat lagi masih di bangku persekolahan. Bukit Puteri terletak di kawasan Bandar Kuala Terengganu. Bukit bersejarah ini mempunyai keluasan kira-kira 0.688 hektar dengan ketinggian lebih kurang 200 meter dari aras laut. Lokasinya begitu strategik kerana berdekatan dengan bangunan bersejarah seperti istana Maziah dan Masjid Abidin (Masjid Putih).

Terdapat beberapa artifak di puncak bukit ini antaranya ialah Genta (loceng besar), meriam, makam lama, rumah api dan sebuah tempat seperti singgahsana. Di sini saya paparkan sedikit informasi mengenai artifak-artifak yang terdapat di atas Bukit Puteri, Terengganu…

Makam Syed Yasin - Syed Yasin bin Akil dilahirkan di Sumatera dan keluarganya berasal dari Hadramaut. Syed Yasin telah berhijrah ke Negeri Terengganu dan berkahwin dengan Che' Siti, Puteri Sultan Zainal 1. Beliau telah dilantik menjadi seorang pembesar Negeri Terengganu semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin

Rumah api - Menjadi panduan kepada kapal-kapal yang akan singgah di Kuala Terengganu suatu ketika dahulu.

Lubang ubat bedil - Lubang ini pernah digunakan untuk menyimpan ubat bedil yang digunakan semasa berlaku Perang Saudara pada tahun 1831 dan 1839.

Kubu pertahanan - Kubu ini dibina oleh Baginda Umar. Diperbuat daripada batu bata dan diperkukuhkan dengan campuran kapur, pasir garam, putih telur dan madu. Kubu pertahanan masih lagi teguh walaupun telah menelan usia lebih seabad.

Tiang bendera - Didirikan pada masa pemerintahan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah bagi menggantikan tiang bendera yang telah dibina oleh Sultan Zainal Abidin 3. Telah didirikan pada 22 April 1899 ketika pemerintahan Sultan Zainal Abidin 3. Istiadat menanam tiang ini dilakukan dengan penuh istiadat dan dituruti dengan tembakan meriam sebanyak 16 das.

Meriam beranak - Dinamakan meriam beranak kerana kedudukannya yang berdekatan di antara satu sama lain dan mempunyai ukuran berbeza. Meriam yang berukuran besar dikatakan sebagai ibu kepada meriam yang berukuran kecil.

Genta (loceng besar) - Diperbuat semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin 3 dalam tahun 1326H (1908M) bagi menggantikan Genta pertama yang bernama 'Negara' yang dibuat semasa pemerintahan Sultan Baginda Umar sekitar tahun 1270H (1853M). Berat genta ini lebih kurang 175kg dan diperbuat daripada tembaga kuning. Pada masa dahulu Genta ini berfungsi sebagai pemberi amaran sekiranya terjadi apa-apa atau panggilan untuk mengumpulkan rakyat.

Para pengunjung pasti tidak puas menikmati suasana pemandangan dari atas bukit yang amat menakjubkan di mana, pengunjung dapat melihat dengan jelas muara Sungai Terengganu dan kawasan Seberang Takir serta kawasan di sekitar bandaraya Terengganu itu sendiri. Menurut sejarah, Bukit Puteri ini asalnya merupakan kubu yang mengawal perairan Kuala Terengganu pada suatu waktu dahulu.

“TERENGGANU DESTINASI PILIHANKU”

Read More..

Air Terjun Tembat Kenyir


Pemandangan yang dapat disaksikan sebelum sampai ke tapak perkhemahan Air Terjun Tembat (kiri), Air Terjun Tembat (kanan)

Anak admin...(paling kanan) bergambar di sebuah titian kecil yang merentasi anak sungai
yang mana airnya mengalir terus ke Tasik Kenyir



Sebuah pondok rehat turut disediakan untuk kemudahan pengunjung


Suasana sewaktu makan...selera sekali dengan berlauk masakan hasil pancing...ikan Tapah
(admin berdiri, berkain pelekat...)



Admin bergambar kenangan di pintu gerbang utama tapak perkhemahan Air Terjun Tembat
bersama isteri dan anak


Salam..Kali ini admin ingin berkongsi pengalaman sewaktu melakukan aktiviti perkhemahan dan eksplorasi di Air Terjun Tembat yang terletak dalam kawasan Tasik Kenyir, Hulu Terengganu, Terengganu.

Lokasi ini sangat mengasyikkan. Banyak kenangan manis dan juga peristiwa yang tidak dapat admin lupakan antaranya dapat merasai lauk pauk hasil pancing iaitu masakan gulai ikan Tapah. Dalam perjalanan ke sana, admin dapat melihat di permukaan tasik masih terdapat banyak pohon-pohon kayu mati yang masih berada di dalam Tasik Kenyir.

Apabila tiba ke destinasi yang dituju, admin dapat menyaksikan suasana di sini amat tenang dan mendamaikan dengan flora dan fauna yang tidak tercemar. Sesampai sahaja di tapak Perkhemahan Air Terjun Tembat, terus kedengaran bunyi air terjun yang sentiasa mengalir tanpa henti-henti. Suasana di sini sangat mendamaikan, di mana tapak perkhemahan ini dikelilingi oleh hutan. Terdapat kemudahan seperti tandas, pondok rehat, tempat memasak, tapak khemah berkonkrit dan juga jambatan untuk melintasi anak sungai menuju ke kawasan air terjun di sediakan.

Di kesempatan ini admin ingin berkongsi sedikit sebanyak info mengenai tasik buatan manusia ini, iaitu Tasik Kenyir.

Tasik ini kaya pelbagai tarikan yang boleh menggamit pelancong. Tasik ini mempunyai keluasan 209,000 hektar dan merupakan tasik buatan manusia yang terbesar di Asia Tenggara. Terdapat 340 buah pulau di tasik ini di samping 14 air terjun di sekitarnya, antaranya air terjun Tembat, Petang, Leban dan Lasir. Terdapat dua gua batu kapur, iaitu Bewah dan Taat. Lebih menarik, dianggarkan ada 300 spesies ikan air tawar di sini, antaranya kelah, lampan, toman, kelisa, kalui dan kawan. Salah satu tarikan utama pastinya aktiviti memancing dan jika bernasib baik, ikan bersaiz besar mampu dipancing.

Bagi pelancong, antara aktiviti yang boleh dijalankan ialah memancing, mandi air terjun, kembara hutan, berkayak dan mudik dengan bot dan feri di sekitar tasik. Bagaimanapun, setiap resort menyediakan pakej untuk kemudahan pelancong. Jeti Pangkalan Gawi, yang dibina pada tahun 1991 merupakan jeti utama untuk kita meninjau ke sekitar tasik.


“TERENGGANU DESTINASI PILIHANKU”


"Artikel di atas ditulis berdasarkan pengalaman sendiri"
-AHMAD YUSRI BIN JUSOH @ MOHAMMED.
Read More..

Pertandingan Blog Pelancongan Terengganu 2010

Ahmad Razif (tengah) menekan butang tanda bermulanya Pertandingan Blog Pelancongan Terengganu 2010 `Terengganu Dihati Ku' sambil disaksikan Dato' Razali Kassim dan Pengarah UKOM, Rosli Zakaria.

Tujuan utama pertandingan ini diadakan ialah untuk:-

1 Memupuk lebih ramai penulis blog/website khusus yang berbicara mengenai pelancongan yang terdapat di negeri Terengganu.

2 Mengguna dan menjadikan kemudahan ICT untuk tujuan mempromosi pelancongan di seluruh dunia dengan cara yang termurah dan efektif.

3 Meningkatkan kualiti, kecekapan dan keberkesanan laman blog pelancongan Terengganu selaras dengan dasar kerajaan negeri untuk mewujudkan persaingan sihat di kalangan kementerian, jabatan dan agensi bagi menghasilkan laman web yang terbaik, kemaskini, interaktif dan informatif

4 Menyediakan saluran alternatif penyebaran maklumat kepada orang ramai berdasarkan ‘real time information’.

5 Memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada warga yang peka, kreatif dan inovatif.

6 Memastikan laman blog/website ini dapat mendokumentasikan sebanyak mungkin maklumat yang tepat mengenai Terengganu melalui saluran yang mesra pengguna.

NAMA

Pertandingan ini dinamakan PERTANDINGAN BLOG PELANCONGAN 2010 sempena 2 Tahun Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan Negeri Terengganu.

ANJURAN

Pertandingan ini dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu melalui Unit Komunikasi Negeri Terengganu.

TEMA

Tema : Tema umum yang ditetapkan untuk pertandingan ini ialah “Terengganu Di Hatiku”. Para peserta pertandingan dikehendaki memikirkan tema yang paling menarik untuk blog mereka tetapi perkataan “Terengganu” wajib ada.

KETERANGAN

Pertandingan PERTANDINGAN BLOG PELANCONGAN TERENGGANU 2010 lebih menjurus kepada melahirkan inspirasi keindahan, kepermaian, corak sosio budaya, keseniaan, serta kepelbagaian aktiviti di negeri Terengganu yang menggamit kehadiran pelancong ke negeri Terengganu kini dan pada masa depan. Oleh itu, kesemua peristiwa, catatan,gambar dalam paparan blog atau laman web hendaklah membawa mesej positif dan mampu menterjemahkan hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan Terengganu sebagai destinasi pelancongan.

HADIAH PERTANDINGAN

Kategori Pelajar Tingkatan 6 Ke bawah
i. Pertama : RM 5,000.00
ii. Kedua : RM 3,500.00
iii. Ketiga : RM 2,500.00
iv. Keempat : RM 1,500.00
v. Kelima : RM 1,000.00
vi. Saguhati : RM 250.00 x 10 unit.

Kategori Pelajar IPT
i. Pertama : RM 7,000.00
ii. Kedua : RM 5,000.00
iii. Ketiga : RM 3,000.00
iv. Keempat : RM 2,000.00
v. Kelima : RM 1,500.00
vi. Saguhati : RM 300.00 x 10 unit.

Kategori Terbuka
i. Pertama : RM10,000.00
ii. Kedua : RM 7,000.00
iii. Ketiga : RM 5,000.00
iv. Keempat: RM 3,000.00
v. Kelima : RM 2,000.00
vi. Saguhati : RM 500.00 x 10 unit.

SYARAT PENYERTAAN

1.Kategori Peserta
• Pelajar Tingkatan Enam Dan Ke Bawah
• Pelajar IPT
• Terbuka
2. Pertandingan menulis blog terbuka kepada semua warganegara Malaysia mengikut kategori di atas.
3. Setiap peserta hanya layak mendaftar 1 blog sahaja untuk dipertandingkan, dengan mendaftar nama blog sendiri di blogger.com ataupun wordpress.com atau mana-mana penyedia perkhidmatan blog percuma atau berbayar.
4. Sebarang kos mengendalikan blog adalah tanggungan peserta sendiri. Pihak penganjur tidak melayan sebarang tuntutan.
5. Pendaftaran boleh dibuat secara online atau dengan mengisi borang penyertaan yang disediakan.
6. Pertandingan dilaksanakan secara online, dan peserta boleh menyiapkan blog tersebut pada bila-bila masa dalam tempoh pertandingan.
7. Tempoh masa pertandingan adalah selama 6 bulan dan bermula 1 April 2010 hingga 30 September 2010.
8. Peserta boleh menggunakan mana-mana penyedia perkhidmatan blog dan blog yang bertanding perlu meletakkan logo pertandingan blog dan bendera negeri Terengganu.
9. Untuk maklumat Urus Setia, setiap peserta perlu menyertakan profail seperti berikut:

• Nama penuh seperti di dalam Kad Pengenalan
• No. KP
• Alamat surat-menyurat
• E-mel
• Nombor untuk dihubungi (rumah/telefon bimbit)

10. Staf UKOM dan Jawatankuasa Pertandingan serta ahli keluarga terdekat tidak dibenarkan menyertai pertandingan ini.
11. Pihak UKOM berhak untuk menyiarkan artikel, rencana, gambar dan apa jua penulisan serta bahan blog peserta semasa dan selepas pertandingan ini di portal, laman blog, akhbar, penerbitan dan majalah terbitan UKOM.
12. UKOM berhak menyiarkan artikel dari blog yang menyertai pertandingan dalam media massa arus perdana pada bila-bila masa.
13. Keputusan hakim dan panel juri adalah muktamad.

ALAMAT BLOG

1. Alamat blog anda adalah pilihan sendiri.
2. Setiap blog yang menyertai pertandingan akan dipautkan ke blog penganjur (http://trgtourism.blogspot.com)
3. Setiap peserta akan disyaratkan memasang logo pertandingan dan bendera negeri Terengganu serta dipautkan ke blog penganjur.
4. Peserta digalakkan menggunakan kreativiti template dan plugin.

PENULISAN BLOG

Peserta bebas untuk menulis apa jua artikel, kisah, maklumat, panduan, diari dan sebagainya di dalam blog ini yang bertemakan pelancongan Terengganu selagi tidak mempunyai bahan-bahan larangan di bawah:
a. Bahan/artikel lucah.
b. Bahan/artikel yang menggugat perhubungan kaum.
c. Peniruan/plagiat daripada website/portal/blog lain.
d. Grafik/Video/Muzik yang mempunyai Hak Cipta terhad.

Artikel-artikel perlulah ditulis dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris sahaja.

HAKMILIK

Semua blog akan menjadi hakmilik peserta dan layak untuk menyertai pertandingan pusingan kedua bermula dari tarikh yang akan ditentukan kelak.

KRITERIA PEMILIHAN
1. Keputusan akan dinilai oleh juri yang dilantik oleh Jawatankuasa Induk Penganjuran Pertandingan.
2. Blog yang mempunyai kriteria berikut layak untuk menerima hadiah daripada tempat pertama hingga saguhati. Perkara yang termasuk dalam penilaian :-
a. Jumlah artikel/post minima 15 bahan sebulan atau 75 artikel sepanjang tempoh pertandingan dan dikemaskini secara berkala dan berterusan.
b. Susunan artikel dan gambar yang menarik dan kemas.
c. Kekerapan jumlah pengunjung (hits).
d. Informasi yang mesra penguna, berilmiah dan berfaedah.
e. Keaslian penulisan berdasarkan pengalaman sendiri.
f. Markah tambahan akan dipertimbangkan. Penggunaan bahan kreatif untuk sokongan idea, termasuk video, multimedia, flash, photos, grafik, hasil photoshop, dsb.

Struktur Permarkahan

1. Keaslian – 40 markah
2. Mesra Pengguna – 20 markah
3. Persembahan – 20 markah
4. Kreativiti – 20 markah
5. Justifikasi Tambahan - 20 markah

Keputusan hakim dan panel juri adalah muktamad.

PENJELASAN SYARAT-SYARAT

1. Tarikh tutup penyertaan ialah pada 30 Jun 2010. Kesemua penyertaan/pendaftaran selepas tarikh tersebut tidak akan dinilai.
2. Setiap penyertaan hendaklah menggunakan borang yang disediakan di laman blog, dimuat turun atau salinan fotostat borang rasmi. Setiap penyertaan akan disahkan melalui nombor penyertaan yang diperolehi daripada Urus Setia.
3. Penganjur berhak menolak setiap penyertaan yang tidak mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan dan keputusan panel penilai adalah muktamad. Sebarang bantahan dan surat-menyurat selepas penghakiman tidak akan dilayan.
4. Hal-hal yang tidak dinyatakan dalam syarat-syarat di atas adalah di bawah bidang kuasa penganjur yang menentukannya.
5. Sebarang petikaian dan kekeliruan dari segi istilah dan pelbagai perkara lain (jika ada) dalam syarat dan peraturan ini hendaklah merujuk kepada Jawatankuasa Induk Pertandingan. Tafsiran dan penjelasan yang diberikan oleh jawatankuasa Induk Pertandingan adalah muktamad.
6. Sebarang pertanyaan berkaitan pertandingan ini bolehlah diajukan kepada Urus Setia pertandingan, Harun (019-9897679), Anida (019-3728521), Rozita (019-6065740), Huraizah (017-9625517) atau e-mail Urus Setia: trgtourism@yahoo.com atau lawati www.trgtourism.blogspot.com
7. Borang yang telah dihantar hendaklah mendapat pengesahan balas secara on-line melalui e-mail daripada :

Urus Setia
Pertandingan Blog Pelancongan Terbaik Terengganu 2010
Unit Komunikasi Negeri Terengganu
Jalan Pejabat
20200 Kuala Terengganu

8. Borang penyertaan hendaklah dihantar dan disah akui oleh penganjur dalam tempoh 30 hari pendaftaran.

Artikel ini dipetik dari portal:
http://trgtourism.blogspot.com

“TERENGGANU DESTINASI PILIHANKU”
Read More..

Rojak kateh

Rojak kateh merupakan sejenis makanan traditional yang terkenal di Terengganu. Ia merupakan urat keting lembu/kerbau yang direbus selama beberapa jam. Rebusan ini akan menyingkirkan semua lemak yang akan timbul dibahagian atas, meninggalkan bahagian urat yang bebas lemak sepenuhnya. Urat ini kemudiannya akan diambil dan dipotong kepada bahagian- bahagian kecil sebelum dimasak bersama air cuka berlada.


“TERENGGANU DESTINASI PILIHANKU”
Read More..

Keunikan Lapangan Terbang Terengganu


Lapangan Terbang Sultan Mahmud Kuala Terengganu.


Pandangan pagar hadapan (gambar kiri), dan tempat pakir kenderaan yang cukup luas di sediakan untuk kemudahan pengunjung yang datang ke LTSM ini (gambar kanan).


Senibina yang mempunyai motif ukiran kayu..sangat menarik dan
memukau mata yang memandang.



Di hadapan pintu utama LTSM aras perlepasan.

Pintu hadapan kaunter syarikat penerbangan yang terdapat di LTSM.

Kompleks Lapangan Terbang Sultan Mahmud Kuala Terengganu sangat unik senibinanya. Kompleks ini mempunyai reka bentuk berkonsepkan rumah tradisional melayu Terengganu. Senibinanya sangat menarik perhatian setiap pelancong atau pengunjung yang datang ke negeri ini terutamanya bagi mereka yang menggunakan pintu masuk melalui pengangkutan udara. Jaraknya terletak kira-kira 20km dari bandar Kuala Terengganu. Lokasinya berhampiran dengan Kompleks Sukan Negeri Terengganu. Sekiranya berkunjung ke Kuala Terengganu datanglah ke Kompleks Lapangan Terbang Sultan Mahmud Kuala Terengganu untuk melihat sendiri senibinanya yang unik.


“TERENGGANU DESTINASI PILIHANKU”


"Artikel di atas ditulis berdasarkan pengalaman sendiri"
-AHMAD YUSRI BIN JUSOH @ MOHAMMED.

Read More..

Ukiran Tembaga Terengganu

Barangan tembaga yang dihasilkan di Terengganu adalah merupakan seni pertukangan yang memerlukan masa serta kemahiran. Kemahiran ini terus dipusakai dari satu generasi ke generasi yang lain dan terus hidup hingga sekarang.

Pada keseluruhannya perusahaan kraftangan ini melibatkan 90% kerja-kerja tangan yang memerlukan kemahiran. Hanya kerja-kerja di peringkat mencuci sahaja yang menggunakan alat jentera ringan.

Adalah dipercayai seni ini diwarisi dari ahli seni (tukang) dari China yang berhijrah ke sini dari Funan, China. Tembaga Terengganu adalah hasil campuran tembaga putih, kuning dan zink.

Barangan logam yang dihasilkan seperti tepak sirih, pemegang lilin, bekas habuk rokok, ketur basuh tangan dan juga dalam bentuk cenderamata seperti penyu, keris, pasu dan lain-lain.

Kemahiran dan sentuhan halus penghasilnya memberikan nilai astetik yang tinggi dan dijadikan bahan untuk perhiasan.


“TERENGGANU DESTINASI PILIHANKU”
Read More..

Kolam Air Panas Kampung La


Papan tanda menunjukkan jarak ke Kolam Air Panas La (kiri), Kolam air panas utama.

Keluarga admin bergambar kenangan di Kolam Air Panas Kampung La.

Kampung La, Besut terletak 150 kilometer dari Kuala Terengganu, 50 Kilometer dari Kota Bahru dan 30 kilometer dari Jertih. Di Kampung La ini mempunyai kolam air panas yang berkualiti tinggi. Tidak hairanlah sewaktu admin datang ke sini dan sempat berbual dengan pengunjung yang selalu datang ke Kolam Air Panas La semata-mata untuk mengubati penyakit yang dihidapi terutama berkaitan penyakit kulit.

Air panas di sini dikatakan dapat menyembuh berbagai penyakit seperti penyakit lumpuh, asma, darah tinggi, gatal-gatal, penyakit ahmar & penyakit jantung. Sumber air panas ini keluar dari celah batu dengan suhu kepanasan menghampiri 100 celcius.

Kolam air panas ini terdiri dua bahagian iaitu air panas yang dialir melalui paip ke kawasan takungan marmar yang lebih selamat terutama kanak-kanak dan orang tua dan satu lagi kawasan takungan air panas yang semula jadi.

Banyak kemudahan yang disediakan untuk para pengunjung apabila bertandang ke sini. Antaranya ialah gerai makanan, surau, tandas serta pondok rehat. Sesungguhnya kunjungan anda ke sini tidak lengkap sekiranya kita tidak merasai keunikan suhu air panas yang ditakung dalam kolam utama iaitu kedudukannya tinggi sedikit di atas bukit.


“TERENGGANU DESTINASI PILIHANKU”


"Artikel di atas ditulis berdasarkan pengalaman sendiri"
-AHMAD YUSRI BIN JUSOH @ MOHAMMED.

Read More..

Panorama Senja di Tebing Sungai Terengganu



Panorama ini, dirakam sewaktu saya berada di 'benteng' atau lebih tepatnya di Dataran Syahbandar, Kuala Terengganu.


“TERENGGANU DESTINASI PILIHANKU”


"Artikel di atas ditulis berdasarkan pengalaman sendiri"
-AHMAD YUSRI BIN JUSOH @ MOHAMMED.

Read More..

Taman Awam Lagun Kuala Ibai


Rekabentuk pintu gerbang yang menarik (kiri), admin dan keluarga sempat memasang khemah (kanan)


Anak admin leka bermain di taman rekreasi ini

Salam...sekali sekala duduk dalam khemah sambil menghirup udara nyaman sesungguhnya amat menyegarkan. Pengalaman ini dapat dikutip apabila anda berada di Taman Awam Lagun Kuala Ibai. Lokasi taman ini terletak bersebelahan Masjid Terapung, Kuala Terengganu.


“TERENGGANU DESTINASI PILIHANKU”
Read More..

Muzium Negeri Terengganu



Kenangan admin di Muzium Negeri Terengganu dan gambar ini dirakam
sekitar tahun 1996 dahulu.

Gelagat anak-anak admin di Muzium Negeri Terengganu.

Tidak lengkap kunjungan anda ke sesebuah negeri sekiranya tidak berpeluang untuk mengunjungi muzium yang terdapat di negeri tersebut. Menyentuh tentang muzium ini, Muzium Negeri Terengganu sememangnya telah diakui oleh ramai pihak kerana 'kehebatan' dari sudut seni binanya...Jom singgah kat Muzium...untuk maklumat lanjut mengenai aktiviti yang dianjurkan di sana sila klik alamat ini...http://museum.terengganu.gov.my


“TERENGGANU DESTINASI PILIHANKU”



"Artikel di atas ditulis berdasarkan pengalaman sendiri"
-AHMAD YUSRI BIN JUSOH @ MOHAMMED.
Read More..