Lorong Kenangan Payang, Kg. Cina


Pintu utama Lorong Kenangan Payang

Salam...MERDEKA buat semua pengunjung setia Blog Pelancongan Terengganu. Kali ini admin akan menyingkap cerita tentang Lorong Kenangan Payang Kampung Cina. Lorong ini terletak di Kampung Cina di mana lokasinya hampir di penghujung jalan Kampung Cina. Lorong ini berada di antara dua bangunan rumah kedai. Apa yang istimewanya lorong ini?...Lorong ini memaparkan potret-potret pemimpin-pemimpin keturunan Cina yang pernah dan masih menyumbang bakti kepada negara kita semenjak tahun 1959 hingga sekarang. Antara potret tokoh yang saya kenali yang turut diabadikan di lorong ini ialah Y.B. Encik Toh Chin Yaw. Setiap potret pemimpin yang terpapar di lorong ini diletakkan nama, jawatan yang pernah disandang dan tempoh perkhidmatan mereka.


Potret pemimpin Cina yang berasal daripada Kampung Cina ini diabadikan di dinding
Lorong Kenangan Payang



“TERENGGANU DESTINASI PILIHANKU”


"Artikel di atas ditulis berdasarkan pengalaman sendiri"
-AHMAD YUSRI BIN JUSOH @ MOHAMMED.

Read More..

Panorama Kampung Cina Hari Ini



Kampung Cina pada hari ini. Titik permulaan Jalan Kampung Cina

Salam merdeka buat semua pengunjung Blog Pelancongan Terengganu. Jam sekarang tepat 12.00 tengah malam...maknanya negara kita sudah menempuh kemerdekaan untuk kali ke 53. Buat semua pengunjung blog ini admin ingin mengucapkan, "SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN KALI KE 53".

Semalam admin mengambil kesempatan meninjau Kampung Cina, Kuala Terengganu untuk sekian kalinya. Ketika admin merakam gambar pintu gerbang yang merupakan titik permulaan Jalan Kampung Cina, admin teringat pengalaman tahun 1993 dahulu di mana admin pernah berada di atas pintu gerbang itu untuk memasang pendawaian elektrik. Pada waktu itu, admin bekerja sambilan dengan satu syarikat yang menjalankan operasi berkaitan elektrik iaitu Cahaya Bumi Elektrik. Pengalaman itu dikutip ketika admin menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Untuk posting kali ini, suka admin berkongsi gambar-gambar yang telah dirakamkan kepada pengunjung semua. Admin fokus kepada beberapa panorama menarik di sebalik deretan kedai di kiri dan kanan jalan di Kampung Cina.

Pada hari ini, pengunjung dapat melihat suasana di Kampung Cina agak ceria. Ini kerana banyak aktiviti baik pulih telah dilakukan oleh kerajaan negeri untuk menjaga warisan sejarah ini. Antaranya ialah menaik taraf keseluruhan jalan di sepanjang laluan Kampung Cina ini, di mana jalannya telah dibina dengan kemasan tile tahan lasak. Semua rumah-rumah yang ada di sini telah dicat semula supaya persekitarannya lebih ceria.


Keseluruhan rumah telah dicat semula. Kelihatan juga rumah di Kampung Cina mempunyai struktur seni bina yang halus. Jubin warna warni telah digunakan untuk menambahkan kecantikan di sekeliling tingkap-tingkap

Pelbagai jenis senibina terdapat di Kampung Cina. Ukiran kayu dan reka bentuk Baroque, Art-deco dan post-modernisme adalah sebahagian daripada rumah-rumah yang dibina berhampiran satu sama lain. Keunikan rumah yang dibina di sini memperlihatkan bumbung-bumbung rumah berbentuk mencurang. Reka bentuk sebegini hanya terdapat di Kampung Cina sehingga ke hari ini.


Pemandangan jalan di Kampung Cina pada hari ini...sangat menarik...


Pintu depan beberapa buah rumah di Kampung Cina dan hari ini hampir keseluruhan
rumah-rumah telah dijadikan ruang niaga



“TERENGGANU DESTINASI PILIHANKU”



"Artikel di atas ditulis berdasarkan pengalaman sendiri"
-AHMAD YUSRI BIN JUSOH @ MOHAMMED
dan
sumber yang di petik daripada judul buku: Warisan Terengganu.
Read More..

Rumah Tradisi Terengganu


Admin dan rakan bergambar kenangan di salah sebuah rumah tradisi Terengganu,
yang terdapat di perkarangan Muzium Negeri Terengganu


Negeri Terengganu memang kaya dengan peninggalan sejarah rumah-rumah lama seperti "Limau Bungkus" atau "Rumah Belanda", "Rumah Berkembar" dan "Rumah Tele". Keunikan rumah ini yang digubah oleh tukang-tukang Melayu pada awal tahun 1930 an bukan sahaja kerana keindahan dan keaslian reka bentuk tetapi juga keindahan seni ukiran dan sobekan sama ada yang terletak di atas pintu mahupun di atas tingkap. Reka bentuk dan ukiran seperti itu bukan sahaja terdapat di rumah orang berada atau golongan istana tetapi juga di masjid.

Seperti di negeri-negeri lain, Terengganu juga tidak berkecuali dengan keunikan dan keaslian rumah tradisi yang masih lagi tersergam indah dan terpelihara. Kampung-kampung yang masih lagi terdapat rumah yang melambangkan keunikan tradisi zaman silam ialah seperti kampung Losong, Paloh dan Pulau Rusa. Kampung-kampung ini melahirkan ramai tukang Melayu handal. Tukang-tukang ini bukan sahaja berupaya untuk mereka bentuk rumah golongan berpendapatan rendah tetapi juga golongan atasan dan keluarga Diraja. Jika kita berkunjung ke Muzium Terengganu di Losong, bentuk dan ukiran rumah-rumah ini masih lagi terpelihara seperti dahulu.



Contoh sebuah rumah tradisi (Bujang Berpeleh) yang masih tersimpan di Muzium Negeri Terengganu.
Rumah lama jenis ini juga masih lagi terdapat di perkampungan Melayu

Pujian harus diberi kepada tukang-tukang yang membuat rumah tradisi ini kerana mereka menitikberatkan beberapa aspek penting dalam pembentukan rumah-rumah itu. Antaranya dari segi keperluan udara, kepentingan keselamatan sekiranya berlaku banjir, kegunaan untuk menyimpan barang-barang di bawah rumah dan keperluan tempat berehat di luar. Sebab itu kebanyakan rumah yang bersifat tradisi adalah tinggi di bahagian bumbung dan juga bawah rumah.

Kebanyakan rumah golongan atasan adalah besar, mempunyai banyak bilik dan juga ruang berehat di bahagian luar atau "surung rumah". Bagi memastikan rumah-rumah itu kelihatan cantik, bahagian atas pintu dibuat ukiran dan persobekan. Persobekan ini mungkin berbentuk seni ukiran biasa ataupun yang berbentuk ayat-ayat al-Quran. Membuat ukiran ini memakan masa yang lama dan upahnya agak mahal. Masjid-masjid lama di Terengganu masih lagi terdapat ukiran dan seni khat di bahagian atas pintu. Antaranya ialah masjid Sultan Zainal Abidin atau dikenali sebagai "Masjid Putih". Sila berkunjung ke Terengganu untuk melihat keunikan reka bentuk rumah tradisi yang masih kekal dan menarik sehingga ke hari ini.


Antara bangunan moden yang mengekalkan ciri-ciri reka bentuk tradisional dalam pembinaannya. Bangunan ini baru sahaja siap dibina dan terletak di kampung Tanjung Bunut, Kuala Terengganu



“TERENGGANU DESTINASI PILIHANKU”



Sumber dipetik dari judul buku: Warisan Terengganu


Read More..

Waterfront Balik Bukit


Tempat permainan untuk kanak-kanak beriadah turut disediakan di sini.

Pemandangan Menara Jam yang terdapat di sini. Lazimnya tempat ini menjadi lokasi pengiraan detik 31 ogos, setiap kali tiba Sambutan Ambang Malam Merdeka.

Kelihatan Jambatan Sultan Mahmud yang merentasi Sungai Terengganu dari dua suasana yang berbeza, iaitu (kiri) suasana siang dan (kanan) suasana malam.


Susunan pokok bonsai yang menghiasi lanskap taman rekreasi ini, menarik setiap mata yang memandang.


Anak-anak admin...suka datang ke sini (gambar kiri), deretan kedai makan terdapat di sini (gambar kanan).

Pemilihan Kuala Terengganu Bandaraya Warisan Pesisir Air sebagai salah satu daripada 10 ikon pelancongan negeri Terengganu amat tepat sekali. Apabila pengunjung berada di sekitar Bandaraya Warisan Pesisir Air ini banyak tempat-tempat menarik boleh dilawati. Antaranya ialah tempat-tempat rekreasi yang sentiasa menjadi tumpuan orang ramai terutama pada hujung minggu.

Antara taman rekreasi yang menarik terdapat di sekitar Bandaraya Kuala Terengganu ini, ialah Taman Rekreasi Balik Bukit yang terletak di pinggir Sungai Terengganu. Taman rekreasi ini terletak bersebelahan dengan Hotel Felda Residence, Kuala Terengganu. Tempat rekreasi ini juga dikenali dengan nama Waterfront Balik Bukit.

Apabila pengunjung berada di sini, mereka dapat menyaksikan panorama menarik iaitu pemandangan Jambatan Sultan Mahmud yang merentasi Sungai Terengganu dari tebing taman rekreasi ini. Taman rekreasi ini berada berhampiran dengan pinggir Sungai Terengganu, dan persekitarannya amat cantik dan bersih. Dari Taman Rekreasi Balik Bukit ini pengunjung boleh melihat Taman Tamadun Islam dan juga Kelab Teluk warisan dari jauh. Suasana waktu malam amat mendamaikan dan panorama berbeza pasti dapat dilihat apabila berada di sini.

Banyak kemudahan yang disediakan bagi kemudahan para pengunjung. Antaranya ialah taman permainan kanak-kanak, tempat untuk pengunjung melakukan aktiviti fizikal, surau, tandas gazebo, gerai-gerai makanan dan sebuah menara jam besar. Taman rekreasi ini dihiasi dengan pelbagai tumbuhan-tumbuhan hijau terutama pokok-pokok bonsai yang disusun dengan teliti supaya lanskapnya sentiasa menggamit setiap mata yang memandang.

Admin dan keluarga sentiasa meluangkan masa pada hujung minggu untuk datang beriadah di taman rekreasi Waterfront Balik Bukit ini.


“TERENGGANU DESTINASI PILIHANKU”


"Artikel di atas ditulis berdasarkan pengalaman sendiri"
-AHMAD YUSRI BIN JUSOH @ MOHAMMED.

Read More..

Perigi Low Tiey di Kampung Cina



Pandangan Perigi Low Tiey dari sudut yang lain

Perigi ini lebih dari satu abad dan merupakan satu daripada tujuh buah perigi yang pernah wujud di sini. Ia terletak di belakang beberapa rumah kedai (di belakang Tokong Ho Ann Kiong). Air perigi ini digunakan untuk minuman dan mandian. Dipercayai perigi ini Perigi Low Tiey sempena nama Low Tie Lim Keng Hoon (1820-1882) yang telah menggali dan membinanya semula pada tahun 1875.


“TERENGGANU DESTINASI PILIHANKU”



Sumber di atas dipetik dari judul buku: Warisan Terengganu (ms54 hingga ms55)
Read More..

Sektor Pelancongan Terengganu

Bilangan pelancong ke Terengganu pada tahun 1997 ialah lebih kurang 1.9 juta. Pendapatan sektor pelancongan pada tahun 1995 ialah RM300 juta dan sasaran terkini, sektor pelancongan dijangka menyumbangkan hasil sebanyak RM2.8 bilion kepada kerajaan negeri Terengganu tahun ini (2010) berbanding RM2.6 bilion tahun lepas (2009).

Antara tarikan pelancong di daerah Kuala Terengganu ialah Masjid Tengku Tengah Zaharah, Taman Tamadun Islam, Pulau Redang, Pulau Duyung, Muzium Negeri, Bukit Puteri, Pantai Batu Buruk, perusahaan tembaga, batik, perahu, bot, songket dan keropok. Bandaraya Terengganu itu sendiri termasuk dalam 10 ikon produk pelancongan negeri sebagai "Kuala Terengganu Bandaraya Warisan Persisir Air'.

Di daerah Besut dan Setiu, kawasan tarikan pelancong ialah Bukit Keluang, Pulau Perhentian, Kolam Air Panas, Lata Tembakah, Lata Belatan, Air Terjun Gunung Tebu dan Sungai Nyatoh.

Antara destinasi pelancongan di Hulu Terengganu ialah Air Terjun Sekayu, Tasik Kenyir, Tempat Batu Bersurat, gua (Gua Bewah dan Gua Taat) dan gunung (Gunung Mandi Angin dan Gunung Padang).

Di daerah Marang dan Dungun terdapat pusat kraftangan, Lubuk Mandi, Pulau Kapas, Rantau Abang, Air Terjun dan hutan lipur Chemerong, Bukit Besi, Tanjung Jara, Pantai Teluk Bidara, Pulau Tenggol, Gua Kelawar dan makam Megat Panji Alam. Manakala di kemaman pula, destinasi pelancongan yang popular ialah Kuala kemaman, pelabuhan awal bijih besi, Telaga Simpul dan Taman Rekreasi dan Mini Zoo kemaman.

Negeri Terengganu juga terkenal dengan seni dan kebudayaan yang unik. Hasil kraftangan seperti kain songket, batik, perak, tembaga, ukiran kayu dan kesenian lama seperti rodat, balai, saba dan gamelan serta masakan tradisional juga menjadi tarikan pelancong ke Terengganu.


“TERENGGANU DESTINASI PILIHANKU”



Sumber dipetik dari judul buku: Warisan Terengganu

Read More..

Monsoon Cup di Terengganu



Pulau Duyong, Terengganu telah dipilih sebagai salah satu lokasi pertandingan kapal layar antarabangsa. Cetusan idea bekas mantan Perdana Menteri Malaysia iaitu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah merealisasikan pertandingan kapal layar antarabangsa ini di bawa ke Terengganu. Kejohanan Monsoon Cup ini menjadi landasan bagi pelayar-pelayar terkemuka dunia termasuk pasukan-pasukan hebat yang menyertai American's Cup untuk menguji kecekapan masing-masing. Unsur-unsur angin kencang dan ombak besar pada musim tengkujuh merupakan cabaran dan daya tarikan kepada setiap peserta yang menyertai kejohanan ini.

Pelayar terkemuka dunia, Peter Gilmour pernah berkata cabaran getir dan hebat ketika beliau menyertai kejohanan ini pada tahun 2005. Para peserta yang terlibat dalam perlumbaan kapal layar merebut Monsoon Cup Terengganu di Pulau Duyong akan berdepan dengan situasi yang jauh berbeza dan berbahaya berbanding lokasi-lokasi pertandingan yang pernah mereka sertai di Eropah. Apa tidaknya, perairan laut di negeri Pantai Timur akan bergelora dengan ombak besar dan kekencangan angin timur laut yang sukar dijangkakan pada musim tengkujuh.

Dengan adanya kejohanan ini, nama Pulau Duyong khususnya dan Terengganu serta Malaysia amnya menjadi perhatian masyarakat dunia. Mengikut catatan di laman web Swedish Match Tour (SMT), hampir 500 juta penduduk dari 190 buah negara mengikuti perlumbaan kapal layar berprestij ini setiap kali ia diadakan. Selain melalui televisyen yang menyiarkan secara langsung perlumbaan itu, ribuan penggemar sukan ini terutama dari Eropah dan AS akan mengunjungi setiap lokasi perlumbaan dan ini akan menguntungkan negara tuan rumah dari aspek pelancongan dan ekonomi.


“TERENGGANU DESTINASI PILIHANKU”



Sumber dipetik dari judul buku: Tamadun Baru Bermula Di Sini
dan
untuk keterangan lanjut sila layari: http://www.monsooncup.com.my
Read More..

Kota Lama Duyong




Walaupun tidak sehebat Angkor Wat di Kampuchea atau Borobudur di Indonesia, Kota Lama Duyong memainkan peranan penting dalam pembentukan identiti negeri Terengganu sehingga mendapat jolokan sebagai negeri Iman atau Terengganu Darul Iman. Di samping itu, kota tersebut turut berperanan dalam pembentukan watak anak negeri yang terkenal dengan sifat lemah-lembut tetapi tekun bekerja, mahir dalam bidang pertukangan tradisional dan arif mengenai pelayaran.

Berdasarkan rekod-rekod yang tersimpan dan cerita lisan penduduk setempat, Kota Lama Duyong pada zaman kegemilangannya merupakan sebuah institusi yang tidak hanya terhad kepada perkembangan Islam, bahkan turut menjadi pusat perbincangan hal ehwal perundangan dan perdagangan negeri. Malah, Pulau Duyong Kecil sendiri sebelum dan sesudah pembinaan kota berkenaan pada tahun 1920, turut menjadi pusat rujukan hal-hal pentadbiran dan pemerintahan Terengganu kerana di situlah lahirnya beberapa orang ulama terbilang yang kemudiannya dilantik sebagai mufti dan hakim negeri.



Kota Lama Duyong mempunyai 9 buah bumbung yang menutupi beberapa bahagian yang bersambung dengan dapur, bilik mandi, sarung, beranda dan titian. Reka bentuknya mirip Istana Kecil Raja Melayu tetapi diperkayakan dengan memasukkan unsur-unsur seni bina asing seperti Corinthian atau Mesir. Tiang dan dinding batunya memperlihatkan bentuk rumah tradisional Melayu Terengganu, iaitu Bujang Berepeleh, Lima Bungkus dan Potong Belanda dengan dihias ukiran sobek di sekeliling beranda. Kota ini dibina oleh Datuk Biji Sura (1890-1955) Nik Mohamad Hitam yang merupakan cicit kepada Wan Abdullah bin Wan Amin (di sebelah ibu) atau pun dikenali sebagai Tok Syeikh Duyong.

Di sebelah ayah, Datuk Biji Sura adalah sepupu Menteri Besar Terengganu yang pertama Datuk Amar di Raja. Semasa kecil anak jeragan Encik Hitam itu hanya menumpang belajar dengan ahli keluarga terdekat Tok Syeikh Duyong tetapi beliau dapat mengatasai pelajar lain sehingga dijolok otak besi barani oleh orang tuanya. Datuk Biji Sura memulakan kerjaya sebagai kerani di mahkamah dan akhirnya memegang jawatan: Ahli Majlis di Raja, Ahli Mesyuarat Menteri, Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama dan Haim Besar-besar di Mahkamah Syariah. Kadang-kadang tugas-tugas itu terpaksa berjalan serentak. Nama beliau dicatat sebagai salah seorang dari Pengarang Perlembagaan Negeri Terengganu yang pertama (1911).


“TERENGGANU DESTINASI PILIHANKU”



"Artikel di atas ditulis berdasarkan pengalaman sendiri"
-AHMAD YUSRI BIN JUSOH @ MOHAMMED
dan
Sumber dipetik dari judul buku: Tamadun Baru Bermula Di Sini.
Read More..

Pulau Duyong dan Sejarahnya

Gugusan pulau-pulau kecil, dikenali sebagai Pulau Duyong yang terletak di muara Sungai Terengganu menyimpan pelbagai sejarah suka dan duka kehidupan masa silam. Bagaikan sudah sinonim dengan lumrah alam, setiap kehidupan yang berlatarbelakangkan sungai dan laut, selalu digambarkan dua pertentangan. Kehidupan duka yang penuh dengan wajah-wajah murung dan sedih sering digambarkan dengan keganasan ombak laut apabila tibanya musim tengkujuh. Keindahan dan ketenangan digambarkan melalui saat matahari pagi mula bersinar dan matahari petang sedang melabuhkan sauhnya untuk memasuki malam.

Deretan pulau-pulau kecil sepanjang 1.7 km menganjur masuk dari muara ke dada sungai yang terbentang luas menjanjikan suatu pemandangan menarik. Dipercayai mula dihuni sebagai sebuah perkampungan nelayan dan menjadi pintu masuk ke bandar Kuala Terengganu melalui jalan laut oleh para pedagang dan pelaut sebagai tempat perlindungan sewaktu musim angin laut mengganas. Pemandangan dan pengalaman yang mengasyikkan dapat dilihat melalui wajah-wajah ceria para nelayan seawal pagi, dengan penuh semangat dan iltizam menggeluncurkan perahu-perahu ke dada Laut China Selatan untuk memulakan usaha meraih rezeki hinggalah ke suasana petang di mana hasil tangkapan di bawa ke pantai.

Sanak saudara dan kenalan berdiri dalam pelbagai posisi menantikan kepulangan, yang ditemani oleh warna-warna langit kemerahan bercampur hitam seakan mengingatkan setiap orang dengan pelbagai tafsiran. Warna langit semakin suram dan bercampur gelap, menandakan hari akan melabuhkan siangnya atau ketika matahari hampir ke penghujungya hari itu, dapat disaksikan sebuah lanskap warna yang mempersonakan. Bagi seorang penyair akan dinukilkan puisi nan indah, seorang pelukis akan tetap memuja warna senja di langit yang meruntun perasaan dan fikiran, apakah hari esok akan dapat disaksikan lagi keindahannya? Namun bagi mereka yang terlalu biasa, panorama sedemikian tidak memberikan apa-apa makna, ia adalah lumrah. Gugusan Pulau Duyong menambatkan hati setiap mereka yang berjiwa seni. Antara pulau-pulau yang termasuk dalam gugusan Pulau Duyong ialah Pulau Duyong Besar, Pulau Duyong Kecil, Pulau Ketam, Pulau Kelab Aya dan Pulau Duyong Sekolah.

Perhubungan antara pulau-pulau tersebut bergantung kepada pengangkutan air. Kedudukan strategik menjadikan Pulau Duyong terkenal dan mudah dihubungi. Dihimpit oleh perkampungan nelayan Seberang Takir dan bandar Kuala Terengganu, Pulau Duyong menjadi tempat terbaik pusat pembinaan bot-bot tradisional hingga kini.


Aktiviti pembuatan bot di Pulau Duyong terkenal di seluruh dunia

Kepentingan hubungan dan memudahkan perjalanan ulang alik sebagai tanda persahabatan dan persaudaraan yang akrab, akhirnya sebuah jambatan telah dibina merentasi Sungai Terengganu. DYMM Sultan Mahmud al-Muktafi Billah Shah telah berkenan merasmikan jambatan tersebut pada 11 Mac 1990, yang bukan sahaja merancakkan perjalanan masuk dan keluar malah turut merangsangkan lagi kegiatan ekonomi penduduk Pulau Duyong dan kampung-kampung sekitarnya.


Pemandangan dari udara menunjukkan Jambatan Sultan Mahmud merentasi Pulau Duyong


“TERENGGANU DESTINASI PILIHANKU”


Sumber dipetik dari judul buku: Tamadun Baru Bermula Di Sini
Read More..

Pantai Batu Rakit Terengganu


Keindahan dan desiran ombak di Pantai Batu Rakit (kiri), 'Batu Rakit' dan rumah api (kanan).


Wajah ceria admin dan rakan-rakan sebelum melakukan aktiviti ujian kecerdasan
di Pantai Batu Rakit, Terengganu.

Salam...buat semua pengunjung Blog Pelancongan Terengganu. Untuk posting kali ini admin ingin berkongsi informasi tentang Pantai Batu Rakit Terengganu. Pantai ini merupakan antara pantai-pantai menarik yang terdapat sekitar Kuala Terengganu. Jarak Pantai Batu Rakit ini dari bandar Kuala Terengganu kira-kira 25 km. Pekan yang paling hampir dengan pantai ini ialah Pekan Wakaf Tengah. Beberapa pusat pendidikan yang terdapat di sekitarnya ialah Institut Pendidikan Guru Kampus Dato' Razali Ismail dan sebuah universiti iaitu Universiti Malaysia Terengganu. Antara makanan popular yang boleh kita dapati di sini ialah makanan laut seperti ikan, sotong dan udang celup tepung serta pelbagai makanan dan minuman yang dijual di gerai-gerai berhampiran pantai ini.

Admin dan rakan-rakan pernah menjalankan ujian kecergasan di Pantai Batu Rakit. Admin memilih lokasi ini untuk menjalankan ujian kecergasan kerana keunikkan yang terdapat di sini. Keunikkan pantai ini kerana terdapatnya batu yang seolah-olah terapung di permukaan air. Walaupun air laut pasang namun pengunjung tetap dapat melihat batu tersebut terapung di permukaan laut. Untuk pengetahuan, asal usul nama Kampung Batu Rakit adalah bersempena dengan wujudnya kawasan berbatu di pantai ini iaitu 'Batu Rakit'.

Pesanan admin kepada pengunjung semua...jangan lepaskan peluang datang ke Pantai Batu Rakit ini, bagi menyaksikan sendiri keunikkan batu rakit yang terdapat berhampiran gigi pantai ini. SELAMAT BERKUNJUNG KE PANTAI BATU RAKIT TERENGGANU!


“TERENGGANU DESTINASI PILIHANKU”



"Artikel di atas ditulis berdasarkan pengalaman sendiri"
-AHMAD YUSRI BIN JUSOH @ MOHAMMED.

Read More..

SMK Belara





“TERENGGANU DESTINASI PILIHANKU”


"Artikel di atas ditulis berdasarkan pengalaman sendiri"
-AHMAD YUSRI BIN JUSOH @ MOHAMMED.
dan
sumber yang di petik dari laman:
http://www.smkbelara.webs.com/
Read More..

Wayang Kulit


Permainan wayang kulit masih lagi popular dalam kalangan masyarakat Terengganu dan kebanyakannya dipengaruhi oleh wayang kulit Jawa dan Siam. Patung untuk permainan ini diperbuat daripada belulang. Tuk Dalang, iaitu peneraju wayang kulit, mencipta watak dengan menggunakan warna dan bentuk tertentu bagi mengenali perwatakan yang pelbagai jenis.

Sebidang layar putih diletakkan di atas pentas. Di bawah layar tersebut diletakkan pula batang pisang untuk memudahkan patung wayang kulit dipacakkan. sebiji lampu digantungkan di sebelah dalam layar untuk menghasilkan bayang ketika persembahan dimainkan.


“TERENGGANU DESTINASI PILIHANKU”


Sumber dipetik dari judul buku: Warisan Terengganu
Read More..

Main Puteri

Main Puteri secara tradisinya digunakan untuk tujuan perubatan. Penyakit yang boleh diubati termasuk sawan, sakit perut, sakit kepala yang bersangatan, demam dan penyakit-penyakit lain. Tuan rumah pesakit mesti menyediakan bahan keperluan seperti beras kunyit, bertih, telur rebus dan duit syiling lima belas sen bagi memulakan perubatan. Peralatan untuk latar belakang muzik yang digunakan untuk permainan ini ialah rebab dan gong.


“TERENGGANU DESTINASI PILIHANKU”




Sumber dipetik dari judul buku: Warisan Terengganu
Read More..

Keratan Akhbar Admin di Tempat Menarik


Salam buat semua pengunjung Blog Pelancongan Terengganu. Untuk sekian kalinya admin ingin berkongsi keratan akhbar tentang kunjungan admin bersama para pelajar ke Pulau Kapas, Marang Terengganu.


“TERENGGANU DESTINASI PILIHANKU”

Read More..

Kesultanan Negeri Terengganu

Terengganu mempunyai sejarah kesultanan silam yang amat menarik. Berdasarkan pelbagai penemuan sejarah, antaranya Batu Bersurat Terengganu bertarikh 1303 Masihi (702 Hijrah) telah membuktikan pemakaian dan penguatkuasaan undang-undang Islam di negeri Terengganu oleh pemerintah pada masa itu, Raja Mandalika Seri Paduka Tuan. Fakta inilah yang dianggap sebagai pengasas kepada sistem pemerintahan raja-raja di negeri Terengganu.


Sumber dipetik dari judul buku: Warisan Terengganu
Read More..

Gasing


Permainan gasing adalah permainan gelanggang yang sangat popular di Terengganu. Jenis-jenis gasing termasuklah gasing jantung, gasing leper, gasing cina dan gasing buku benang. Permainan gasing biasanya dimainkan pada akhir musim menuai. Permainan ini memerlukan kemahiran tangan dan strategi para pemain.

Tujuan utama permainan gasing ialah untuk keseronokan, kadang kala ia juga melibatkan pertandingan. Gasing yang paling lama berputar adalah dikira pemenang. Putaran gasing boleh mencapai lebih daripada satu jam.


Sumber dipetik dari judul buku: Warisan Terengganu
Read More..

Tasik Kenyir dan 14 Air Terjun


Tasik Kenyir adalah tasik buatan terbesar di Asia Tenggara. Tasik Kenyir hampir menyamai saiz negara Singapura. Ia kaya dengan flora dan fauna. Antaranya ialah spesies ikan air tawar. Tasik Kenyir meliputi 209,199 hektar dan terdapat 340 pulau-pulau. Jarak Tasik Kenyir dari bandar Kuala Terengganu kira-kira 60 km. Tasik ini terkenal dalam kalangan pelancong dalam dan luar negara semenjak ia dibina tahun 1988.

Satu daripada elemen yang menjadi tarikan di sini ialah air terjun. Di tasik ini terdapat 14 air terjun dan antara air terjun yang pasti menggamit hati pengunjung ialah air terjun lansir, Petuang Rapid, Tembat, Lata Terap, Soak, Petang dan Sungai Buweh. Setiap air terjun yang terdapat di tasik ini pasti menjanjikan kedinginan airnya yang pasti meningalkan kenangan yang sukar dilupakan. Selain daripada daya tarikan air terjun.

Lasir merupakan air terjun tercantik dan paling sesuai untuk aktiviti mandi-manda, berendam dan berenang kerana ia mempunyai beberapa kolam yang luas. Air terjunnya cantik dan bertingkat-tingkat. Antara yang menjadi tarikan di Air Terjun Lasir ialah menara tinjau dan jambatan gantung yang menyeberangi air terjun.

Air terjun yang agak landai dan terletak hampir dengan Pengkalan Gawi ialah Saok. Ia juga merupakan kawasan yang sering dikunjungi, tetapi tidak mempunyai kilam-kolam yang besar sebagaiman Lasir. Taman Herba di Pulau Sah Kecil terletak tidak jauh dari laluan masuk ke kawasan air terjun ini.




Tasik Kenyir juga menjadi 'syurga' kaki pancing kerana pelbagai spesies ikan sungai termasuk kelah, lampam, sebarau, baung dan tapah yang hidup bebas di tepian air terjun, jeram, lubuk dan sungai yang terdapat dalam tasik ini.

Banyak aktiviti yang boleh dilakukan oleh pengunjung apabila berada di Tasik Kenyir. Antaranya ialah melihat burung, berkayak, merentas hutan, menyusuri tasik dengan menaiki bot dan meneroka gua. Satu perkara lagi, pengunjung pasti akan terpesona dengan pemandangan waktu senja di kala matahari terbenam. Ia membuatkan pengunjung terigin datang lagi untuk melihat khazanah alam semula jadi yang tiada ternilai indahnya.



“TERENGGANU DESTINASI PILIHANKU”

Read More..