Terengganu Tuan Rumah Gamelan Sedunia



Banner Festival Gamelan Sedunia 2010 yang admin rakam
di persimpangan lampu isyarat Marang, Terengganu.

Festival Gamelan Sedunia 2010
Tarikh:23-25 Julai 2010
Tempat:Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu
Penganjur:Kerajaan Negeri Terengganu


KUALA TERENGGANU, 5 Julai (Bernama) — Festival Gamelan Dunia 2010 yang bakal menyaksikan penyertaan secara eksklusif karyawan muzik dan tari gamelan seluruh dunia akan diadakan dari 23 hingga 25 Julai ini di Dataran Shahbandar, di sini.

Penolong Kurator-Perhubungan dan Pemasaran Lembaga Muzium negeri Terengganu Mohd Saberi Muda berkata festival itu diharap dapat memberi maklumat dan hiburan yang bermutu tinggi kepada masyarakat setempat khususnya pencinta dan pendokong seni gamelan secara keseluruhannya.

“Pengunjung termasuk pelancong dari luar negara dialu-alukan hadir bagi memeriahkan majlis berkenaan selain mengetahui sejarah dan seni warisan gamelan negara yang rapat dengan seni gamelan luar khususnya dari Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Isnin.

Katanya persembahan muzik serta tarian gamelan akan diadakan mengikut beberapa kategori iaitu muzik dan tari gamelan Melayu, muzik dan tari gamelan Bali serta muzik dan tari gamelan Jawa.

Selain memberi pendedahan kepada penggiat gamelan tempatan, Mohd Saberi berkata festival itu juga bertujuan menyemarakkan lagi industri pelancongan negeri itu.
Menurutnya sempena festival itu juga, satu bengkel dua hari akan diadakan khusus bagi memperkenalkan alatan muzik gamelan Melayu, Bali dan Jawa, dengan pesertanya dipilih daripada setiap kumpulan terlibat.

Mohd Saberi berkata Festival Gamelan Sedunia 2010 yang merupakan kali kedua diadakan itu, menunjukkan usaha gigih dan berterusan kerajaan negeri untuk mencipta kembali zaman kegemilangan seni gamelan di Terengganu seperti pada tahun 1920-an dulu.

Program seumpama itu pertama kali diadakan pada tahun 2008, melibatkan penyertaan kumpulan tersohor dunia termasuk kumpulan Gamelan Wasabe, Jepun, kumpulan Gamelan South Bank, United Kingdom, kumpulan Gamelan Gianyar, Bali serta kumpulan Gamelan Gerasi Seni Banewa, Jawa, Indonesia.


“TERENGGANU DESTINASI PILIHANKU”


Sumber di atas dipetik dari:
http://www.bernama.com
0 Responses