Air Terjun Tembat Kenyir


Pemandangan yang dapat disaksikan sebelum sampai ke tapak perkhemahan Air Terjun Tembat (kiri), Air Terjun Tembat (kanan)

Anak admin...(paling kanan) bergambar di sebuah titian kecil yang merentasi anak sungai
yang mana airnya mengalir terus ke Tasik Kenyir



Sebuah pondok rehat turut disediakan untuk kemudahan pengunjung


Suasana sewaktu makan...selera sekali dengan berlauk masakan hasil pancing...ikan Tapah
(admin berdiri, berkain pelekat...)



Admin bergambar kenangan di pintu gerbang utama tapak perkhemahan Air Terjun Tembat
bersama isteri dan anak


Salam..Kali ini admin ingin berkongsi pengalaman sewaktu melakukan aktiviti perkhemahan dan eksplorasi di Air Terjun Tembat yang terletak dalam kawasan Tasik Kenyir, Hulu Terengganu, Terengganu.

Lokasi ini sangat mengasyikkan. Banyak kenangan manis dan juga peristiwa yang tidak dapat admin lupakan antaranya dapat merasai lauk pauk hasil pancing iaitu masakan gulai ikan Tapah. Dalam perjalanan ke sana, admin dapat melihat di permukaan tasik masih terdapat banyak pohon-pohon kayu mati yang masih berada di dalam Tasik Kenyir.

Apabila tiba ke destinasi yang dituju, admin dapat menyaksikan suasana di sini amat tenang dan mendamaikan dengan flora dan fauna yang tidak tercemar. Sesampai sahaja di tapak Perkhemahan Air Terjun Tembat, terus kedengaran bunyi air terjun yang sentiasa mengalir tanpa henti-henti. Suasana di sini sangat mendamaikan, di mana tapak perkhemahan ini dikelilingi oleh hutan. Terdapat kemudahan seperti tandas, pondok rehat, tempat memasak, tapak khemah berkonkrit dan juga jambatan untuk melintasi anak sungai menuju ke kawasan air terjun di sediakan.

Di kesempatan ini admin ingin berkongsi sedikit sebanyak info mengenai tasik buatan manusia ini, iaitu Tasik Kenyir.

Tasik ini kaya pelbagai tarikan yang boleh menggamit pelancong. Tasik ini mempunyai keluasan 209,000 hektar dan merupakan tasik buatan manusia yang terbesar di Asia Tenggara. Terdapat 340 buah pulau di tasik ini di samping 14 air terjun di sekitarnya, antaranya air terjun Tembat, Petang, Leban dan Lasir. Terdapat dua gua batu kapur, iaitu Bewah dan Taat. Lebih menarik, dianggarkan ada 300 spesies ikan air tawar di sini, antaranya kelah, lampan, toman, kelisa, kalui dan kawan. Salah satu tarikan utama pastinya aktiviti memancing dan jika bernasib baik, ikan bersaiz besar mampu dipancing.

Bagi pelancong, antara aktiviti yang boleh dijalankan ialah memancing, mandi air terjun, kembara hutan, berkayak dan mudik dengan bot dan feri di sekitar tasik. Bagaimanapun, setiap resort menyediakan pakej untuk kemudahan pelancong. Jeti Pangkalan Gawi, yang dibina pada tahun 1991 merupakan jeti utama untuk kita meninjau ke sekitar tasik.


“TERENGGANU DESTINASI PILIHANKU”


"Artikel di atas ditulis berdasarkan pengalaman sendiri"
-AHMAD YUSRI BIN JUSOH @ MOHAMMED.
0 Responses