Bas Bandar (Bas CASLIGAS)


Terminal Bas Bandar yang terletak di Dataran Syahbandar Kuala Terengganu.


Menarik...rekabentuk Bas Bandar (Bas CASLIGAS)

“Abah!...bas rumah…abah, bas rumah”. Ungkapan ini sentiasa dijeritkan apabila anak-anak admin melihat bas Bandar. Kewujudan bas Bandar sinonim dengan status Terengganu sebagai sebuah bandaraya (Bandaraya Warisan Pesisir Air). Perkhidmatan bas dikenali sebagai bas Bandar atau bas “CASLIGAS” telah diperkenalkan pada 2007 bagi meningkatkan industri pelancongan, negeri Terengganu.

Bas yang mempunyai ciri ukiran kayu tradisional negeri ini selain bentuk dalaman yang selesa dan unik itu mendapat perhatian ramai terutama para pelancong. Ketika mula diperkenalkan, bas bandar jenis Hino dan Nissan berbadan kayu itu menyediakan kemudahan untuk para pengguna secara percuma. Perkhidmatan bas kendalian Cas Ligas Sdn. Bhd., anak syarikat Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) bukan sahaja akan menjadi tarikan pelancong namun berkhidmat sebagai pengangkutan awam alternatif untuk penduduk. Perkhidmatan sedia ada bas tersebut membabitkan laluan ke Chendering dan Taman Tamadun Islam (TTI) Gong Badak dan Batu Enam.

Pengguna perkhidmatan bas bandar itu akan dikenakan tambang. Tambang itu dikenakan setelah mengambil kira dari segi keperluan untuk menampung kos operasi bas berkenaan ketika ini. Caj RM1 dikenakan untuk laluan dari pusat bandar ke Chendering dan laluan ke TTI manakala RM2 untuk perjalanan ke Batu 6 sehingga Gong Badak. Laluan ke Batu 6 sehingga Gong Badak, bas akan singgah di Pulau Duyong dengan caj tambang RM1 dan jika penumpang hendak ke Batu 6 atau Gong Badak, mereka perlu bayar RM1 lagi. Perkhidmatan turut mengenakan caj serupa ke atas penumpang yang berusia 7 tahun ke atas.

Setiap laluan akan membabitkan enam trip pada setiap hari mulai pukul 9 pagi hingga 7 malam untuk laluan ke Chendering dan Gong Badak dan dari pukul 11 pagi hingga 4.30 petang untuk ke TTI. Maklumat pelancongan seperti risalah mengenai tempat menarik dan destinasi pelancongan termasuk inap desa di dalam bas untuk pelancong di negeri ini.


“TERENGGANU DESTINASI PILIHANKU”



"Artikel di atas ditulis berdasarkan pengalaman sendiri"
(Melalui temubual dengan pemandu bas CASLIGAS dan pengalaman menaiki sendiri basi ini bersama seisi keluarga)
-AHMAD YUSRI BIN JUSOH @ MOHAMMED.
1 Response
  1. Unknown Says:

    berapa buah bas bandar yang beroperasi