Artifak di Bukit Puteri


Panorama dari atas Bukit Puteri


Meriam beranak


Kubu


Genta

Salam…buat semua pengunjung Blog Pelancongan Terengganu ini. Dikesempatan ini, saya ingin nukilkan kenangan manis sewaktu menjejak kaki ke Bukit Puteri. Bukit Puteri merupakan tempat menarik yang pertama saya jejaki…selaku anak jati Terengganu. Pada waktu itu usia saya baru menjangkau belasan tahun…lebih tepat lagi masih di bangku persekolahan. Bukit Puteri terletak di kawasan Bandar Kuala Terengganu. Bukit bersejarah ini mempunyai keluasan kira-kira 0.688 hektar dengan ketinggian lebih kurang 200 meter dari aras laut. Lokasinya begitu strategik kerana berdekatan dengan bangunan bersejarah seperti istana Maziah dan Masjid Abidin (Masjid Putih).

Terdapat beberapa artifak di puncak bukit ini antaranya ialah Genta (loceng besar), meriam, makam lama, rumah api dan sebuah tempat seperti singgahsana. Di sini saya paparkan sedikit informasi mengenai artifak-artifak yang terdapat di atas Bukit Puteri, Terengganu…

Makam Syed Yasin - Syed Yasin bin Akil dilahirkan di Sumatera dan keluarganya berasal dari Hadramaut. Syed Yasin telah berhijrah ke Negeri Terengganu dan berkahwin dengan Che' Siti, Puteri Sultan Zainal 1. Beliau telah dilantik menjadi seorang pembesar Negeri Terengganu semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin

Rumah api - Menjadi panduan kepada kapal-kapal yang akan singgah di Kuala Terengganu suatu ketika dahulu.

Lubang ubat bedil - Lubang ini pernah digunakan untuk menyimpan ubat bedil yang digunakan semasa berlaku Perang Saudara pada tahun 1831 dan 1839.

Kubu pertahanan - Kubu ini dibina oleh Baginda Umar. Diperbuat daripada batu bata dan diperkukuhkan dengan campuran kapur, pasir garam, putih telur dan madu. Kubu pertahanan masih lagi teguh walaupun telah menelan usia lebih seabad.

Tiang bendera - Didirikan pada masa pemerintahan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah bagi menggantikan tiang bendera yang telah dibina oleh Sultan Zainal Abidin 3. Telah didirikan pada 22 April 1899 ketika pemerintahan Sultan Zainal Abidin 3. Istiadat menanam tiang ini dilakukan dengan penuh istiadat dan dituruti dengan tembakan meriam sebanyak 16 das.

Meriam beranak - Dinamakan meriam beranak kerana kedudukannya yang berdekatan di antara satu sama lain dan mempunyai ukuran berbeza. Meriam yang berukuran besar dikatakan sebagai ibu kepada meriam yang berukuran kecil.

Genta (loceng besar) - Diperbuat semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin 3 dalam tahun 1326H (1908M) bagi menggantikan Genta pertama yang bernama 'Negara' yang dibuat semasa pemerintahan Sultan Baginda Umar sekitar tahun 1270H (1853M). Berat genta ini lebih kurang 175kg dan diperbuat daripada tembaga kuning. Pada masa dahulu Genta ini berfungsi sebagai pemberi amaran sekiranya terjadi apa-apa atau panggilan untuk mengumpulkan rakyat.

Para pengunjung pasti tidak puas menikmati suasana pemandangan dari atas bukit yang amat menakjubkan di mana, pengunjung dapat melihat dengan jelas muara Sungai Terengganu dan kawasan Seberang Takir serta kawasan di sekitar bandaraya Terengganu itu sendiri. Menurut sejarah, Bukit Puteri ini asalnya merupakan kubu yang mengawal perairan Kuala Terengganu pada suatu waktu dahulu.

“TERENGGANU DESTINASI PILIHANKU”

0 Responses