Kisah Pantai Marina dan Telaga Simpul

Pantai Marina

Pantai Marina merupakan satu nama yang mungkin agak asing bagi pelancong dalam atau luar Terengganu. Tetapi kewujudannya telah tercatat dalam sejarah silam. Ini adalah kerana Pantai Marina terkenal dengan kewujudan sebuah telaga yang dikenali sebagai 'Telaga Simpul'. Kedudukan Pantai Marina hanyalah lebih kurang 9 kilometer dari Bandar Chukai dan terletak di Muara Sungai Kemaman bertentangan dengan Kampung Kuala Kemaman. Jalan masuk ke Pantai Marina adalah bertentangan dengan Pangkalan Bekalan Kemaman (Kemaman Supply Base) dan bersebelahan dengan Perwaja Maju Kemaman.

Mengikut catatan sejarah, Telaga Simpul adalah sebuah telaga yang wujud daripada takungan air yang mengalir dari Bukit Pejajat, iaitu sebuah bukit kecil di muara Sungai Kemaman. Takungan air ini digunakan oleh penduduk tempatan, pelayar serta para nelayan silam mendapatkan air tawar untuk mandi, membasuh pakaian serta sebagai air minuman.

Telaga SimpulSejarah Telaga Simpul

Menurut orang-orang tua zaman dahulu, kawasan Telaga Simpul ini dihuni oleh makhluk halus. Penduduk kampung selalu berurusan dengan makhluk halus ini untuk meminjam peralatan kenduri-kendara seperti pinggan mangkuk.

Abdullah Musyi dalam pelayarannya ke Kelantan pernah singgah di Telaga Simpul ini untuk mendapatkan bekalan air bersih. Semasa di situ, setiap orang yang mandi di Telaga Simpul dimestikan mengambil sehelai daun pandan duri (atau mengkuang) dan menyimpulnya kemudian diletakkan berhampiran telaga berkenaan bagi mengelakkan musibah.

Kawasan perkelahan keluarga ini juga lengkap dengan berbagai kemudahan awam seperti surau, tandas, taman permainan kanak-kanak, pondok rehat serta gerai makan. Kawasan sekitarnya juga merupakan salah satu padang pancing yang popular di Kemaman.





“TERENGGANU DESTINASI PILIHANKU”



"Artikel di atas ditulis berdasarkan pengalaman sendiri"
-AHMAD YUSRI BIN JUSOH @ MOHAMMED.
0 Responses