Panorama Kampung Cina Hari Ini



Kampung Cina pada hari ini. Titik permulaan Jalan Kampung Cina

Salam merdeka buat semua pengunjung Blog Pelancongan Terengganu. Jam sekarang tepat 12.00 tengah malam...maknanya negara kita sudah menempuh kemerdekaan untuk kali ke 53. Buat semua pengunjung blog ini admin ingin mengucapkan, "SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN KALI KE 53".

Semalam admin mengambil kesempatan meninjau Kampung Cina, Kuala Terengganu untuk sekian kalinya. Ketika admin merakam gambar pintu gerbang yang merupakan titik permulaan Jalan Kampung Cina, admin teringat pengalaman tahun 1993 dahulu di mana admin pernah berada di atas pintu gerbang itu untuk memasang pendawaian elektrik. Pada waktu itu, admin bekerja sambilan dengan satu syarikat yang menjalankan operasi berkaitan elektrik iaitu Cahaya Bumi Elektrik. Pengalaman itu dikutip ketika admin menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Untuk posting kali ini, suka admin berkongsi gambar-gambar yang telah dirakamkan kepada pengunjung semua. Admin fokus kepada beberapa panorama menarik di sebalik deretan kedai di kiri dan kanan jalan di Kampung Cina.

Pada hari ini, pengunjung dapat melihat suasana di Kampung Cina agak ceria. Ini kerana banyak aktiviti baik pulih telah dilakukan oleh kerajaan negeri untuk menjaga warisan sejarah ini. Antaranya ialah menaik taraf keseluruhan jalan di sepanjang laluan Kampung Cina ini, di mana jalannya telah dibina dengan kemasan tile tahan lasak. Semua rumah-rumah yang ada di sini telah dicat semula supaya persekitarannya lebih ceria.


Keseluruhan rumah telah dicat semula. Kelihatan juga rumah di Kampung Cina mempunyai struktur seni bina yang halus. Jubin warna warni telah digunakan untuk menambahkan kecantikan di sekeliling tingkap-tingkap

Pelbagai jenis senibina terdapat di Kampung Cina. Ukiran kayu dan reka bentuk Baroque, Art-deco dan post-modernisme adalah sebahagian daripada rumah-rumah yang dibina berhampiran satu sama lain. Keunikan rumah yang dibina di sini memperlihatkan bumbung-bumbung rumah berbentuk mencurang. Reka bentuk sebegini hanya terdapat di Kampung Cina sehingga ke hari ini.


Pemandangan jalan di Kampung Cina pada hari ini...sangat menarik...


Pintu depan beberapa buah rumah di Kampung Cina dan hari ini hampir keseluruhan
rumah-rumah telah dijadikan ruang niaga



“TERENGGANU DESTINASI PILIHANKU”



"Artikel di atas ditulis berdasarkan pengalaman sendiri"
-AHMAD YUSRI BIN JUSOH @ MOHAMMED
dan
sumber yang di petik daripada judul buku: Warisan Terengganu.
0 Responses