Waterfront Balik Bukit


Tempat permainan untuk kanak-kanak beriadah turut disediakan di sini.

Pemandangan Menara Jam yang terdapat di sini. Lazimnya tempat ini menjadi lokasi pengiraan detik 31 ogos, setiap kali tiba Sambutan Ambang Malam Merdeka.

Kelihatan Jambatan Sultan Mahmud yang merentasi Sungai Terengganu dari dua suasana yang berbeza, iaitu (kiri) suasana siang dan (kanan) suasana malam.


Susunan pokok bonsai yang menghiasi lanskap taman rekreasi ini, menarik setiap mata yang memandang.


Anak-anak admin...suka datang ke sini (gambar kiri), deretan kedai makan terdapat di sini (gambar kanan).

Pemilihan Kuala Terengganu Bandaraya Warisan Pesisir Air sebagai salah satu daripada 10 ikon pelancongan negeri Terengganu amat tepat sekali. Apabila pengunjung berada di sekitar Bandaraya Warisan Pesisir Air ini banyak tempat-tempat menarik boleh dilawati. Antaranya ialah tempat-tempat rekreasi yang sentiasa menjadi tumpuan orang ramai terutama pada hujung minggu.

Antara taman rekreasi yang menarik terdapat di sekitar Bandaraya Kuala Terengganu ini, ialah Taman Rekreasi Balik Bukit yang terletak di pinggir Sungai Terengganu. Taman rekreasi ini terletak bersebelahan dengan Hotel Felda Residence, Kuala Terengganu. Tempat rekreasi ini juga dikenali dengan nama Waterfront Balik Bukit.

Apabila pengunjung berada di sini, mereka dapat menyaksikan panorama menarik iaitu pemandangan Jambatan Sultan Mahmud yang merentasi Sungai Terengganu dari tebing taman rekreasi ini. Taman rekreasi ini berada berhampiran dengan pinggir Sungai Terengganu, dan persekitarannya amat cantik dan bersih. Dari Taman Rekreasi Balik Bukit ini pengunjung boleh melihat Taman Tamadun Islam dan juga Kelab Teluk warisan dari jauh. Suasana waktu malam amat mendamaikan dan panorama berbeza pasti dapat dilihat apabila berada di sini.

Banyak kemudahan yang disediakan bagi kemudahan para pengunjung. Antaranya ialah taman permainan kanak-kanak, tempat untuk pengunjung melakukan aktiviti fizikal, surau, tandas gazebo, gerai-gerai makanan dan sebuah menara jam besar. Taman rekreasi ini dihiasi dengan pelbagai tumbuhan-tumbuhan hijau terutama pokok-pokok bonsai yang disusun dengan teliti supaya lanskapnya sentiasa menggamit setiap mata yang memandang.

Admin dan keluarga sentiasa meluangkan masa pada hujung minggu untuk datang beriadah di taman rekreasi Waterfront Balik Bukit ini.


“TERENGGANU DESTINASI PILIHANKU”


"Artikel di atas ditulis berdasarkan pengalaman sendiri"
-AHMAD YUSRI BIN JUSOH @ MOHAMMED.

0 Responses