Walaupun tidak sehebat Angkor Wat di Kampuchea atau Borobudur di Indonesia, Kota Lama Duyong memainkan peranan penting dalam pembentukan identiti negeri Terengganu sehingga mendapat jolokan sebagai negeri Iman atau Terengganu Darul Iman. Di samping itu, kota tersebut turut berperanan dalam pembentukan watak anak negeri yang terkenal dengan sifat lemah-lembut tetapi tekun bekerja, mahir dalam bidang pertukangan tradisional dan arif mengenai pelayaran.
Berdasarkan rekod-rekod yang tersimpan dan cerita lisan penduduk setempat, Kota Lama Duyong pada zaman kegemilangannya merupakan sebuah institusi yang tidak hanya terhad kepada perkembangan Islam, bahkan turut menjadi pusat perbincangan hal ehwal perundangan dan perdagangan negeri. Malah, Pulau Duyong Kecil sendiri sebelum dan sesudah pembinaan kota berkenaan pada tahun 1920, turut menjadi pusat rujukan hal-hal pentadbiran dan pemerintahan Terengganu kerana di situlah lahirnya beberapa orang ulama terbilang yang kemudiannya dilantik sebagai mufti dan hakim negeri.
Kota Lama Duyong mempunyai 9 buah bumbung yang menutupi beberapa bahagian yang bersambung dengan dapur, bilik mandi, sarung, beranda dan titian. Reka bentuknya mirip Istana Kecil Raja Melayu tetapi diperkayakan dengan memasukkan unsur-unsur seni bina asing seperti Corinthian atau Mesir. Tiang dan dinding batunya memperlihatkan bentuk rumah tradisional Melayu Terengganu, iaitu Bujang Berepeleh, Lima Bungkus dan Potong Belanda dengan dihias ukiran sobek di sekeliling beranda. Kota ini dibina oleh Datuk Biji Sura (1890-1955) Nik Mohamad Hitam yang merupakan cicit kepada Wan Abdullah bin Wan Amin (di sebelah ibu) atau pun dikenali sebagai Tok Syeikh Duyong.
Di sebelah ayah, Datuk Biji Sura adalah sepupu Menteri Besar Terengganu yang pertama Datuk Amar di Raja. Semasa kecil anak jeragan Encik Hitam itu hanya menumpang belajar dengan ahli keluarga terdekat Tok Syeikh Duyong tetapi beliau dapat mengatasai pelajar lain sehingga dijolok otak besi barani oleh orang tuanya. Datuk Biji Sura memulakan kerjaya sebagai kerani di mahkamah dan akhirnya memegang jawatan: Ahli Majlis di Raja, Ahli Mesyuarat Menteri, Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama dan Haim Besar-besar di Mahkamah Syariah. Kadang-kadang tugas-tugas itu terpaksa berjalan serentak. Nama beliau dicatat sebagai salah seorang dari Pengarang Perlembagaan Negeri Terengganu yang pertama (1911).
“TERENGGANU DESTINASI PILIHANKU”
"Artikel di atas ditulis berdasarkan pengalaman sendiri"
-AHMAD YUSRI BIN JUSOH @ MOHAMMED
dan
-AHMAD YUSRI BIN JUSOH @ MOHAMMED
dan
Sumber dipetik dari judul buku: Tamadun Baru Bermula Di Sini.