Pulau Duyong dan Sejarahnya

Gugusan pulau-pulau kecil, dikenali sebagai Pulau Duyong yang terletak di muara Sungai Terengganu menyimpan pelbagai sejarah suka dan duka kehidupan masa silam. Bagaikan sudah sinonim dengan lumrah alam, setiap kehidupan yang berlatarbelakangkan sungai dan laut, selalu digambarkan dua pertentangan. Kehidupan duka yang penuh dengan wajah-wajah murung dan sedih sering digambarkan dengan keganasan ombak laut apabila tibanya musim tengkujuh. Keindahan dan ketenangan digambarkan melalui saat matahari pagi mula bersinar dan matahari petang sedang melabuhkan sauhnya untuk memasuki malam.

Deretan pulau-pulau kecil sepanjang 1.7 km menganjur masuk dari muara ke dada sungai yang terbentang luas menjanjikan suatu pemandangan menarik. Dipercayai mula dihuni sebagai sebuah perkampungan nelayan dan menjadi pintu masuk ke bandar Kuala Terengganu melalui jalan laut oleh para pedagang dan pelaut sebagai tempat perlindungan sewaktu musim angin laut mengganas. Pemandangan dan pengalaman yang mengasyikkan dapat dilihat melalui wajah-wajah ceria para nelayan seawal pagi, dengan penuh semangat dan iltizam menggeluncurkan perahu-perahu ke dada Laut China Selatan untuk memulakan usaha meraih rezeki hinggalah ke suasana petang di mana hasil tangkapan di bawa ke pantai.

Sanak saudara dan kenalan berdiri dalam pelbagai posisi menantikan kepulangan, yang ditemani oleh warna-warna langit kemerahan bercampur hitam seakan mengingatkan setiap orang dengan pelbagai tafsiran. Warna langit semakin suram dan bercampur gelap, menandakan hari akan melabuhkan siangnya atau ketika matahari hampir ke penghujungya hari itu, dapat disaksikan sebuah lanskap warna yang mempersonakan. Bagi seorang penyair akan dinukilkan puisi nan indah, seorang pelukis akan tetap memuja warna senja di langit yang meruntun perasaan dan fikiran, apakah hari esok akan dapat disaksikan lagi keindahannya? Namun bagi mereka yang terlalu biasa, panorama sedemikian tidak memberikan apa-apa makna, ia adalah lumrah. Gugusan Pulau Duyong menambatkan hati setiap mereka yang berjiwa seni. Antara pulau-pulau yang termasuk dalam gugusan Pulau Duyong ialah Pulau Duyong Besar, Pulau Duyong Kecil, Pulau Ketam, Pulau Kelab Aya dan Pulau Duyong Sekolah.

Perhubungan antara pulau-pulau tersebut bergantung kepada pengangkutan air. Kedudukan strategik menjadikan Pulau Duyong terkenal dan mudah dihubungi. Dihimpit oleh perkampungan nelayan Seberang Takir dan bandar Kuala Terengganu, Pulau Duyong menjadi tempat terbaik pusat pembinaan bot-bot tradisional hingga kini.


Aktiviti pembuatan bot di Pulau Duyong terkenal di seluruh dunia

Kepentingan hubungan dan memudahkan perjalanan ulang alik sebagai tanda persahabatan dan persaudaraan yang akrab, akhirnya sebuah jambatan telah dibina merentasi Sungai Terengganu. DYMM Sultan Mahmud al-Muktafi Billah Shah telah berkenan merasmikan jambatan tersebut pada 11 Mac 1990, yang bukan sahaja merancakkan perjalanan masuk dan keluar malah turut merangsangkan lagi kegiatan ekonomi penduduk Pulau Duyong dan kampung-kampung sekitarnya.


Pemandangan dari udara menunjukkan Jambatan Sultan Mahmud merentasi Pulau Duyong


“TERENGGANU DESTINASI PILIHANKU”


Sumber dipetik dari judul buku: Tamadun Baru Bermula Di Sini
0 Responses