Rumah Tradisi Terengganu


Admin dan rakan bergambar kenangan di salah sebuah rumah tradisi Terengganu,
yang terdapat di perkarangan Muzium Negeri Terengganu


Negeri Terengganu memang kaya dengan peninggalan sejarah rumah-rumah lama seperti "Limau Bungkus" atau "Rumah Belanda", "Rumah Berkembar" dan "Rumah Tele". Keunikan rumah ini yang digubah oleh tukang-tukang Melayu pada awal tahun 1930 an bukan sahaja kerana keindahan dan keaslian reka bentuk tetapi juga keindahan seni ukiran dan sobekan sama ada yang terletak di atas pintu mahupun di atas tingkap. Reka bentuk dan ukiran seperti itu bukan sahaja terdapat di rumah orang berada atau golongan istana tetapi juga di masjid.

Seperti di negeri-negeri lain, Terengganu juga tidak berkecuali dengan keunikan dan keaslian rumah tradisi yang masih lagi tersergam indah dan terpelihara. Kampung-kampung yang masih lagi terdapat rumah yang melambangkan keunikan tradisi zaman silam ialah seperti kampung Losong, Paloh dan Pulau Rusa. Kampung-kampung ini melahirkan ramai tukang Melayu handal. Tukang-tukang ini bukan sahaja berupaya untuk mereka bentuk rumah golongan berpendapatan rendah tetapi juga golongan atasan dan keluarga Diraja. Jika kita berkunjung ke Muzium Terengganu di Losong, bentuk dan ukiran rumah-rumah ini masih lagi terpelihara seperti dahulu.



Contoh sebuah rumah tradisi (Bujang Berpeleh) yang masih tersimpan di Muzium Negeri Terengganu.
Rumah lama jenis ini juga masih lagi terdapat di perkampungan Melayu

Pujian harus diberi kepada tukang-tukang yang membuat rumah tradisi ini kerana mereka menitikberatkan beberapa aspek penting dalam pembentukan rumah-rumah itu. Antaranya dari segi keperluan udara, kepentingan keselamatan sekiranya berlaku banjir, kegunaan untuk menyimpan barang-barang di bawah rumah dan keperluan tempat berehat di luar. Sebab itu kebanyakan rumah yang bersifat tradisi adalah tinggi di bahagian bumbung dan juga bawah rumah.

Kebanyakan rumah golongan atasan adalah besar, mempunyai banyak bilik dan juga ruang berehat di bahagian luar atau "surung rumah". Bagi memastikan rumah-rumah itu kelihatan cantik, bahagian atas pintu dibuat ukiran dan persobekan. Persobekan ini mungkin berbentuk seni ukiran biasa ataupun yang berbentuk ayat-ayat al-Quran. Membuat ukiran ini memakan masa yang lama dan upahnya agak mahal. Masjid-masjid lama di Terengganu masih lagi terdapat ukiran dan seni khat di bahagian atas pintu. Antaranya ialah masjid Sultan Zainal Abidin atau dikenali sebagai "Masjid Putih". Sila berkunjung ke Terengganu untuk melihat keunikan reka bentuk rumah tradisi yang masih kekal dan menarik sehingga ke hari ini.


Antara bangunan moden yang mengekalkan ciri-ciri reka bentuk tradisional dalam pembinaannya. Bangunan ini baru sahaja siap dibina dan terletak di kampung Tanjung Bunut, Kuala Terengganu



“TERENGGANU DESTINASI PILIHANKU”



Sumber dipetik dari judul buku: Warisan Terengganu


0 Responses