500 Sertai Perarakan Tanglung di Kampung Cina


TOH Chin Yaw (tengah) mengetuai perarakan tanglung sempena
Karnival Tanglung 2010 di Kampung Cina.

KUALA TERENGGANU 18 Sept. - Perarakan tanglung pastinya menjadi acara yang paling ditunggu-tunggu oleh masyarakat Cina setiap kali tiba Festival Kuih Bulan.

Tidak ketinggalan meraikannya ialah masyarakat di Kampung Cina dekat sini apabila kira-kira 500 penduduk serta ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Cina di sekitar daerah ini menyertai perarakan tanglung sempena Karnival Pesta Tanglung 2010 di kampung itu malam tadi.

Hujan tidak menghalang mereka meraikan sambutan itu dengan mengadakan perarakan sejauh tiga kilometer bermula dari Waterfront, Pulau Kambing dan berakhir di kampung itu bertujuan mempamerkan kebudayaan dan tradisi masyarakat itu.

Pelbagai bentuk dan corak tanglung yang dihasilkan sendiri oleh masyarakat di situ menerangi sepanjang jalan kampung tersebut.

Sebanyak 65 gerai yang menjual pelbagai cenderahati turut sesak dikunjungi pengunjung pelbagai kaum.

Majlis itu dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Toh Chin Yaw.
Dalam ucapannya, Chin Yaw berkata, acara berkenaan mampu mewujudkan semangat 1Malaysia di antara kaum dan ia perlu diteruskan dalam usaha memupuk semangat cintakan budaya kaum lain sekali gus menerapkan semangat perpaduan serta kenegaraan yang kuat.

"Ini hanya sebahagian inisiatif yang kita boleh buat untuk mengeratkan perpaduan antara kaum. Ia mampu menarik minat kaum lain untuk menyertainya sekali gus dapat mengenali budaya masing-masing dengan lebih dekat," katanya.


Sumber di atas dipetik dari: http://www.utusan.com.my
0 Responses