Produk Pelancongan Baru


MUHAMMAD Ramli Noh (tengah) dan Pengarah Muzium Negeri, Mohd Yusof Abdullah bersama para pemenang Pertandingan Pelita Raya 2010 pada majlis penyampaian hadiah
di Kampung Seberang Tepoh, semalam.

Pertandingan Pelita Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh mampu menjadi produk pelancongan baru selain diketengahkan sebagai ikon warisan negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Muhamad Ramli Nuh berkata, ia berdasarkan keistimewaan DUN tersebut yang sinonim dengan pertandingan pelita raya apabila tradisi lama yang dihidupkan kembali itu mendapat sambutan pada setiap kali Ramadan.

"Sejak program ini diberi perhatian serius oleh kerajaan, ia telah menampakkan kemajuan dalam memartabatkan warisan seni budaya," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian hadiah Pertandingan Pelita Raya di Kampung Seberang Tepoh di sini hari ini.

Pertandingan yang dianjurkan oleh Muzium Terengganu, Pejabat Kementerian Pelancongan Negeri dan Pejabat ADUN Tepoh turut dihadiri Pengarah Muzium negeri, Mohd. Yusof Abdullah.

Muhamad Ramli berkata, pertandingan pada mulanya tertumpu di Kampung Padang Hangus sejak sembilan tahun lalu bakal diketengahkan sebagai produk pelancongan yang mampu mencipta nama tersendiri.

"Kerajaan negeri, Kementerian Pelancongan serta Muzium Negeri Terengganu akan memastikan tanggungjawab untuk memartabatkan warisan ini. Ia bukan untuk pertandingan semata-mata sebaliknya bagi menghidupkan tradisi lama untuk tatapan generasi baru.

"Saya optimis pada tahun-tahun akan datang, penyertaan akan terus meningkat sehingga nama kampung-kampung di sini bakal terpahat sebagai tempat penganjuran Pertandingan Pelita Raya yang berprestij," katanya.

Dalam pada itu, pertandingan tersebut menyaksikan Kampung Padang Hangus mengekalkan kejuaraan bagi kategori antara kampung selama dua tahun berturut-turut untuk membawa pulang wang tunai RM3,000 serta piala pusingan.

Naib johan pula dimenangi Kampung Raja Tepoh dengan hadiah wang tunai RM2,000 manakala tempat ketiga disandang oleh Kampung Pagar Ubi dengan merangkul wang tunai RM1,000.

Bagi kategori individu kampung, johan pertandingan pada setiap kampung memperoleh RM1,000, naib johan (RM750), ketiga (RM500) serta tujuh hadiah saguhati berjumlah RM250 beserta hamper dan sijil penyertaan.

Seramai lima pemenang dari lima kampung dinobatkan sebagai juara iaitu Ismail Sulong dari Kampung Padang Hangus, Tuan Kamariah Tuan Majid (Kampung Pagar Ubi), Tengku Tik Tengku Ahmad (Kampung Raja Tepoh), Zawawi Omar (Kampung Tokeng) dan Mohd. Aizan Daud (Kampung Baru Tepoh).

Ahmad Munif Fitri Nik @ Seman diumumkan sebagai pemenang anugerah khas juri yang menerima wang tunai RM300 berdasarkan penyertaan dan penglibatan orang kurang upaya (OKU) dalam memeriahkan suasana gemerlapan pada pertandingan itu kali ini.


Sumber di atas dipetik dari:
http://www.utusan.com.my
Oleh: Fauzi Mohd
19/09/2010


“TERENGGANU DESTINASI PILIHANKU”

0 Responses