'Damar Raya' Hiasi Laman Rumah di Terengganu


Ismail dibantu isterinya memasang pelita merupakan juara bertahan selama sembilan tahun berturut-turut dalam pertandingan pelita yang diadakan di Kampung Padang Hangus, Kuala Terengganu

Bagi ramai orang, pelita mungkin bukan sesuatu yang asing, malah dianggap antara pelengkap di Aidilfitri kerana cahayanya menimbulkan suasana serta semangat perayaan yang membara.

Namun, pasti ramai di kalangan kita khususnya generasi muda yang tidak pernah mendengar atau mengenali ‘damar raya’ yang menerangi halaman rumah masyarakat zaman lampau. Damar raya ialah tempurung kelapa yang disusun secara bertingkat dengan bahagian tengahnya diletakkan kayu yang ditanam pada tanah, supaya damar raya itu kukuh dan menyala dengan baik.

Penduduk Kampung Padang Hangus, Tepuh, yang masih menggunakan damar raya, Ismail Sulong, 68, berkata untuk membuat damar raya, kelapa yang digunakan perlu dipastikan kering, bagi memudahkan api menyala apabila dibakar.

Dia yang membuat tiga damar raya setinggi kira-kira dua meter setiap satu berkata, keistimewaan damar raya ialah apinya membakar secara menurun dan tidak memerlukan minyak untuk dinyalakan.

"Orang dulu-dulu guna damar untuk terangkan halaman rumah dengan cahaya. Untuk membuat damar raya ini kita tidak perlu keluarkan kos kerana bahannya hanya tempurung kelapa yang sudah lama dikukur atau dimesin. "Cuma apa yang kita perlu pastikan, kayu penyokong yang diletakkan di bahagian tengah kukuh, supaya tempurung tidak jatuh dan membahayakan orang yang berada berhampirannya pula. Untuk mendapatkan kayu penyokong yang kukuh, kita perlu gunakan kayu hidup," katanya.

Ismail berkata, selain tidak perlu mengeluarkan belanja, proses menyiapkan damar raya juga sangat mudah, malah damar raya yang dibakar kadang kala menghasilkan bau wangi berbanding pelita yang berbau minyak.

Sumber di atas dipetik dari:
http://www.bharian.com.my
Oleh: Hanneeyzah Bariah Baharin
hanneeyzah@bharian.com.my
08/09/2010


“TERENGGANU DESTINASI PILIHANKU”

0 Responses