Pulut Panggang (Pulut Lepa) Terengganu


Admin bergambar dengan alat pengepit dan pemanggang yang digunakan untuk
memanggang Pulut Panggang (Pulut Lepa) Terengganu.

Aktiviti membungkus...antara penyediaan yang dilakukan sebelum Pulut Lepa di panggang.


Inti ikan...digunakan dalam proses membuat Pulut Panggang (Pulut Lepa) Terengganu.


Keadaan fizikal Pulut Panggang (Pulut Lepa) Terengganu yang telah siap dibungkus (kiri) dan selepas dipanggang serta siap sedia untuk dihidang (kanan).


Salam, kali ini admin ingin berkongsi pengalaman menyediakan Pulut Panggang atau lebih dikenali dengan nama Pulut Lepa di Terengganu. Menu ini sangat popular di negeri Terengganu, dan ia menjadi makanan pilihan tidak kira masa sama ada pagi, tengahari atau pun malam. Pulut lepa ini mudah di dapati di negeri Terengganu terutama di pasar atau di gerai makanan waktu pagi. Ada juga gerai yang menjual pulut lepa ini di sebelah petang. Pulut Lepa yang admin paling suka ialah Pulut Lepa yang dibuat oleh emak admin sendiri. Dikesempatan ini admin ingin berkongsi gambar Pulut Lepa yang dibuat oleh emak admin pada hari terakhir Ramadhan tahun 1431H.

Pulut Panggang atau Pulut Lepa Terengganu berbeza sedikit daripada Pulut Panggang yang dibuat di negeri lain. Lazimnya di luar Terengganu inti pulutnya menggunakan udang bercampur dengan isi kelapa. Namun Pulut Lepa di Terengganu intinya menggunakan ikan dan tidak dicampur dengan isi kelapa. Datanglah berkunjung ke negeri Terengganu untuk merasai Pulut Lepa yang sentiasa menjadi makanan pilihan warga Terengganu.

PENYEDIAAN INTI PULUT PANGGANG (PULUT LEPA) TERENGGANU

BAHAN-BAHAN
1 kg ikan selayang atau ikan kembung
1 sudu kecil garam dan 4 keping asam keping (untuk merebus ikan)
½ biji kelapa (ambil santan pekat anggaran 2 cawan)
6 ulas bawang merah (dimayang halus)
1 inci halia (dihiris memanjang halus)
1 sudu kecil halba
garam dan gula secukup rasa
serbuk perasa jika suka

CARA MENYEDIAKAN INTI
1. Rebus ikan dengan garam, asam keping dan sedikit air.
2. Sejukkan ikan dan asingkan isinya sahaja.
3. Tumbuk isi ikan hingga lumat.
4. Dalam kuali.. masukkan santan, bahan-bahan hiris, halba, isi ikan, garam dan gula secukup rasa.
5. Masak bahan2 tersebut hingga menjadi betul-betul kering dan berderai.
6. Angkat dan ketepikan sedia untuk digunakan.

PENYEDIAAN PULUT PANGGANG (PULUT LEPA) TERENGGANU
BAHAN-BAHAN
1 kg pulut (direndam semalaman atau sekurang-kurangnya 3 jam)
1 biji kelapa (ambil santan pekat anggaran 3 cawan).
garam secukup rasa
Daun pisang utk membungkus (potong anggaran selebar 7 inci setiap sekeping dan lap permukaannya).
Lidi yang dipotong runcing sepanjang 1 ½ inci (untuk cucuk daun pisang) atau boleh juga gunakan stapler.

CARA MENYEDIAKAN
1. Toskan pulut yang direndam tadi dan masukkan ke dalam pengukus (elok guna pengukus lubang halus agar pulut tak jatuh jika pengukus berlubang besar.. alaskan dengan daun pisang). Kukus selama 30 - 40 minit.
2. Angkat pulut dan masukkan ke dalam besen dan arong dengan santan yang dicampurkan dengan garam. Kacau hingga rata dan kukus sekali lagi selama 30 minit atau hingga pulut masak.
3. Sediakan daun pisang (letak atas meja atau papan pencanai atau atas kekuda kalau buat kat lantai).
4. Sapukan jari dengan kapur makan agar pulut tak melekat pada jari. Sudukan anggaran 2 hingga 3 sudu besar pulut atas daun pisang dan ratakan.
5. Sudukan inti anggaran 3 sudu kecil lalu balutkan inti tadi dengan pulut dengan beralaskan daun pisang. Pastikan inti tertutup dengan pulut dan berada ditengah-tengah pulut supaya inti tak berterabur waktu nak makan
6. Potong lebihan daun pisang kiri dan kanan balutan pulut tadi anggaran 1 inci.
7. Dengan menggunakan jari.. tekan/cucuk2 pulut ke dalam balutan daun pisang tadi agar ia kemas dan mampat.
8. Cucuk dengan lidi atau stapler untuk mengemaskan balutan.
9. Bila dah siap, bolehlah dibakar menggunakan dapur gas ataupun arang.



“TERENGGANU DESTINASI PILIHANKU”


"Artikel di atas ditulis berdasarkan pengalaman sendiri"
-AHMAD YUSRI BIN JUSOH @ MOHAMMED.

0 Responses